Rumah mampu milik

Rumah mampu milik

KUCHING, 28 April – Kerajaan negeri Sarawak mempunyai rancangan membina rumah berharga bawah RM300,000 bagi membantu golongan berpendapatan pertengahan memiliki rumah sendiri.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata cadangan tersebut adalah antara usaha Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi membantu kelas pertengahan ini.

Katanya susulan harga rumah yang tinggi di kawasan bandar, maka ia memerlukan intervensi kerajaan negeri bagi membela nasib golongan ini untuk memiliki rumah.

Beliau berkata usaha ini adalah perlu kerana dasar yang sedia ada lebih tertumpu kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah.

“Kita sudah ada dasar untuk membina rumah kos rendah bagi golongan berpendapatan rendah tetapi untuk golongan berpendapatan pertengahan tidak ada,” katanya kepada Bernama di sini.

Abang Johari, yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak, berkata antara kaedah yang sedang difikirkan ialah menyediakan kemudahan pinjaman perumahan melalui institusi kewangan milik kerajaan untuk golongan ini.

Menurutnya, BN sentiasa komited memastikan pembangunan di Sarawak dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengabaikan mana-mana golongan rakyat.

Abang Johari, yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok pada pilihan raya negeri, 7 Mei ini, berkata semua calon BN atau lebih dikenali sebagai ‘Pasukan Adenan’ terdiri daripada mereka yang berintegriti tinggi.

Katanya kesemua calon sama ada daripada parti komponen mahupun calon langsung BN telah ditapis termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya percaya mereka yang telah dipilih akan memainkan peranan masing-masing untuk ‘Pasukan Adenan’ dan ia bukan hanya untuk menang tetapi bersama-sama membangunkan Sarawak,” katanya. – Bernama