Rumah milik warga emas roboh

Rumah milik warga emas roboh

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Sebuah keluarga di Kampung Setia B sempat menyelamatkan sebahagian daripada harta benda mereka sebelum rumah mereka roboh sepenuhnya tengah malam tadi.

Pemilik rumah kayu berkenaan, Awang Sahri bin Salleh, 71, menceritakan bahawa pada awalnya bahagian dapur rumahnya tiba-tiba roboh dalam kejadian kira-kira pukul 12:30 tengah hari kelmarin dan sudah pun dilaporkan kepada pihak bomba dan penyelamat serta agensi-agensi kerajaan yang lain.

“Sejak kejadian itu, saya bersama keluarga diarahkan untuk berpindah serta merta, memandangkan rumah berkenaan tidak selamat untuk dihuni lagi,” ujar beliau kepada Media Permata.

Sahri bersama keluarga berpindah ke rumah jiran yang tidak jauh dari rumahnya, dan pada pukul 12 tengah malam tadi, rumah beliau yang dihuni selama 14 hingga 15 tahun roboh keseluruhannya.

“Tidak dinafikan, tiang rumah ini memang sudah ‘tunjung’ (senget), dan perlu diperbaiki, dan memandangkan kewangan tidak mencukupi, kerja-kerja membaik pulih pula tergendala.

Rumah milik warga emas yang roboh semalam dan mengalami kerugian dianggarkan sebanyak $10,000.
Rumah milik warga emas yang roboh semalam dan mengalami kerugian dianggarkan sebanyak $10,000.
Kejadian bermula pada 24 Ogos di bahagian dapur rumah berkenaan.
Kejadian bermula pada 24 Ogos di bahagian dapur rumah berkenaan.

“Alhamdulillah, sebahagian daripada barangan sudah pun dipindah ke rumah jiran buat sementara waktu, dan sebahagiannya pula masih di dalam rumah, dan turut tenggelam semasa kejadian. Anggaran kerugian kira-kira dalam $10,000,” ujar beliau lagi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat, kejadian awal berlaku kelmarin (24 Ogos), dan mengerahkan anggotanya dari Balai Bomba Laut ke tempat kejadian.

Empat orang anggota bomba dan penyelamat berada di tempat kejadian, dengan diketuai oleh ASO Haji Mohammad bin Haji Putra.

Hasil siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat, kejadian disebabkan struktur rumah yang tidak kukuh dan melibatkan sebahagian laluan jambatan berdekatan berukuran tiga meter panjang yang turut sama roboh dalam kejadian berkenaan.

Walau bagaimanapun, anggaran kerugian sebenar masih lagi dalam siasatan pihak-pihak tertentu.

Turut berada di tempat kejadian hari ini, ialah Pemangku Ketua Kampung Setia B, dan pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

ARTIKEL YANG SAMA