Rumah Pahlawan juara olahraga MSPSBS ke-41

Rumah Pahlawan juara olahraga MSPSBS ke-41

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Rumah Pahlawan muncul juara Kejohanan Olahraga Antara Rumah Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS) ke-41 dengan mendapat 22 pingat emas, 16 perak dan tujuh gangsa dalam acara yang berlangsung di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Berakas, pagi tadi.

Manakala Rumah Panglima mendapat tempat kedua dengan mendapat 13 pingat emas, 11 perak dan 14 gangsa dan tempat ketiga ialah Rumah Hulubalang yang berjaya mendapat sembilan pingat emas, 13 perak dan 11 gangsa. Rumah Laksamana pula telah mendapat tempat keempat dengan dua pingat emas, enam perak dan 13 gangsa.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Pemangku Pengetua MSPSBS, Hajah Hashimawati binti Haji Mohamad.

Muhammaf Faiz bin Supian dari Rumah Pahlawan muncul sebagai Bintang Sukan Lelaki selepas mendapat tiga pingat emas, manakala Lim Wan Chi @ Sherissa Lim, juga dari Rumah Pahlawan muncul sebagai Bintang Sukan Perempuan selepas meraih tiga pingat emas.

Antara acara padang yang diadakan semasa Kejohanan Olahraga Antara Rumah MSPSBS ke-41 di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Berakas, semalam.
Antara acara padang yang diadakan semasa Kejohanan Olahraga Antara Rumah MSPSBS ke-41 di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Berakas, semalam.
Seorang pemenang menerima pingat.
Seorang pemenang menerima pingat.
Para pemenang bergambar dengan pingat masing-masing
Para pemenang bergambar dengan pingat masing-masing

Bagi Perbarisan Lintas Hormat, Rumah Panglima muncul juara selepas memperolehi mata 910, Rumah Laksamana mendapat tempat kedua selepas mendapat 889 mata dan Rumah Hulubalang mendapat tempat ketiga dengan 884 mata.

Persembahan padang pula telah dimenangi oleh Rumah Pahlawan selepas memperolehi mata 761.5, manakala Rumah Panglima mendapat tempat kedua dengan 735 mata dan Rumah Hulubalang mendapat tempat ketiga dengan 702.5 mata.

Manakala bagi Persembahan Aerobik, Rumah Laksamana muncul juara selepas mengutip 443 mata, Rumah Panglima ditempat kedua dengan 438 mata dan rumah Hulubalang ditempat ketiga dengan 425 mata.

Kejohanan pagi tadi juga diserikan lagi dengan persembahan padang dari rumah-rumah, pertandingan trek dan padang serta perlawanan akhir tarik kalat antara rumah.