Rumah Panjang 18 pintu musnah dijilat api

Rumah Panjang 18 pintu musnah dijilat api

MIRI, 15 Mei (Bernama) – Perayaan Gawai yang bakal disambut pada 1 dan 2 Jun ini tidak bermakna buat 110 penduduk Rumah Panjang Champing, Batu 20 Jalan Bintulu-Miri apabila rumah mereka hangus dijilat api awal pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Di Hata Gobel berkata bomba menerima panggilan pada pukul 1.34 pagi dan tiba di tempat kejadian yang terletak 32km dari Balai Bomba Bintulu pada pukul 2.10 pagi.

“Sejurus sampai ke tempat kejadian, api sudah marak dan rumah panjang kayu 18 pintu itu musnah sama sekali akibat kebakaran namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 3.18 pagi manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat.

Kebakaran melibatkan rumah panjang di Bintulu adalah yang kedua dalam minggu ini selepas yang pertama berlaku pada 11 Mei lalu melibatkan lebih 200 penduduk rumah panjang Asmidy Agau, Long Urun, Belaga, Bintulu.