Rumah panjang 23 pintu musnah dalam kebakaran

Rumah panjang 23 pintu musnah dalam kebakaran

SIBU, 11 Dis (Bernama) – Sebanyak 93 penghuni sebuah rumah panjang di Tutus, Batang Igan, kira-kira 60 kilometer dari sini, tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran pada kira-kira 7.30 malam tadi.

Dalam kejadian itu, Rumah Ruwinda 23 pintu itu ranap tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Mutalib Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 7.37 malam dan terus menggerakkan 10 anggota berserta jentera dari Balai Sungai Merah untuk memberi bantuan.

Sebuah jentera dengan kekuatan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu turut digerakkan ke lokasi, katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat Sibu, Ali Taha Ayang memberitahu, barangan keperluan, pakaian dan makanan serta minuman bernilai lebih RM10,000 diagihkan kepada mangsa kebakaran itu hari ini.