Rumah Panjang Kampung Sumbiling Baru hampir siap

Rumah Panjang Kampung Sumbiling Baru hampir siap

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 6 Ogos – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, hari ini membuat lawatan kerja ke Rumah Panjang Kampung Sumbiling Baru, Mukim Amo untuk melihat perkembangan pembinaan rumah panjang tersebut.

Hadir sama dalam lawatan kerja tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Ahad; setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap KHEDN, pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai dari Jabatan Daerah Temburong.

Pembinaan rumah panjang baharu tersebut adalah berikutan dengan kebakaran yang terjadi pada 5 Julai 2013 yang meranapkan keseluruhan 16 buah pintu rumah panjang melibatkan 16 ketua keluarga yang telah dibina pada tahun 1983.

Yang Berhormat Pehin menandatangani buku lawatan Rumah Panjang Sumbiling Baru.
Yang Berhormat Pehin menandatangani buku lawatan Rumah Panjang Sumbiling Baru.
Pandangan luar rumah panjang baharu di Kampung Sumbiling baru.
Pandangan luar rumah panjang baharu di Kampung Sumbiling baru.

Sebahagian mangsa berkenaan kini ditempatkan sementara di flat kerajaan di bawah kawalan Jabatan Daerah Temburong di Pekan Bangar.

Peletakan tiang sari rumah panjang berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin pada 23 Disember 2013 di tapak yang sama.

Kos pembinaan rumah panjang sembilan pintu yang baharu ini ialah $144,000 dan mula dibina pada 10 November 2014 dan kini hampir siap sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA