Rumah Panjang Teraja tetap jadi tumpuan

Rumah Panjang Teraja tetap jadi tumpuan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 15 April – Walaupun jumlah penghuninya semakin berkurangan, daripada seramai 180 orang pada 1987 kepada lapan orang warga emas sahaja, Rumah Panjang Teraja di Ulu Belait tetap menjadi tumpuan para pengunjung dalam dan luar negara.

Rumah panjang tersebut cukup terkenal dalam kalangan pelancong kerana penghuninya yang begitu ramah dan sering mengalu-alukan pengunjung dengan sambutan mesra dan tidak pernah ketinggalan menceriakan suasana dengan menampilkan persembahan sederhana yang diatur oleh ahli-ahli jawatankuasa rumah itu.

Hari ini, rombongan lebih 50 orang dari pelbagai latar belakang termasuk pelajar-pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah membuat kunjungan ke rumah panjang tersebut.

Rombongan tersebut diketuai oleh Pengurus Syarikat Sakam Enterprise, Mejar (B) Awang Mohd Volunshki
bin Haji Momin, turut disertai oleh pemandu pelancong Awang Bohari bin Abdullah.

Ketibaan rombongan telah dialu-alukan oleh Ketua Biro Wanita rumah panjang tersebut, Dayang Embong Munah, dan mereka telah dihiburkan dengan persembahan guling tangan oleh warga rumah panjang di samping mendengarkan taklimat mengenai latar belakang rumah panjang dan sebagainya.

Para pengunjung ke Rumah Panjang Teraja, merakamkan kenangan mereka bersama dengan penghuni di sana.
Para pengunjung ke Rumah Panjang Teraja, merakamkan kenangan mereka bersama dengan penghuni di sana.

Selepas Awang Jamit anak Lasah bersara dua tahun lalu, jawatan ketua rumah panjang kini dipangku oleh pengerusi ahli jawatankuasa tertinggi.

Rombongan berkenaan turut terhibur kerana berpeluang menyaksikan persembahan Ngajat dan Kuntau oleh ahli-ahli Biro Wanita dan ahli jawatankuasa rumah panjang berkenaan.

Di samping itu, mereka berpeluang menyaksikan pameran kraf tangan yang dihasilkan oleh penghuni dalam kalangan wanita yang kadang-kadang pulang pada penghujung minggu melawat ibu bapa mereka, tidak kurang juga kraf tangan yang dihasilkan oleh kalangan warga emas di sana.

Sebahagian pengunjung juga adalah kalangan mereka yang mengikuti program ekspedisi mendaki Bukit Teraja, riadah ke wasai berdekatan yang tidak pernah ketinggalan untuk singgah berkunjung.