Rumah pekerja asing jadi sasaran

Rumah pekerja asing jadi sasaran

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 14 Mac – Sebuah rumah sewa pekerja asing menjadi sasaran dalam Operasi Pencegahan Jenayah antara pihak polis dan ahli pengawasan kejiranan Kampung Sungai Liang dan Kampung Lumut 1 malam tadi, di sini.

Operasi tersebut yang dijalankan selama kira-kira dua jam bermula pukul 11:20 malam hingga 2:15 pagi itu melibatkan penyertaan tiga orang ahli Balai Bomba Sungai Liang bersama dua orang Ahli Polis Keselamatan Padang Minyak LNG, serta dua orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Sungai Liang dan dua lagi ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Lumut 1.

Semasa operasi pemeriksaan di Kampung Sungai Bakong Lumut, bagaimanapun tiada sebarang kes jenayah dilaporkan.

Operasi tersebut juga turut diadakan secara rondaan menggunakan kenderaan di sekitar kawasan Jalan Kampung Sungai Bakong hingga ke kawasan Jalan Kampung Sungai Kayu Ara Lumut 1.

Sebuah rumah sewa pekerja asing menjadi sasaran pemeriksaan pencegahan jenayah yang dijalankan oleh pihak polis dan ahli pengawasan kejiranan.
Sebuah rumah sewa pekerja asing menjadi sasaran pemeriksaan pencegahan jenayah yang dijalankan oleh pihak polis dan ahli pengawasan kejiranan.

Operasi diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Sungai Liang, Inspektor Mohd Sofian bin Haji Kifli, manakala ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Sungai Liang diketuai oleh Haji Manaf bin Matzin dan mengetuai ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Lumut 1 ialah Awang Taib bin Haji Salleh.

Operasi Pencegahan Jenayah akan diteruskan dari semasa ke semasa di seluruh Daerah Belait, dengan tujuan untuk terus membanteras sebarang kejadian jenayah di sekitar kawasan kampung dan bandar, selain untuk menanamkan semangat perpaduan dan sentiasa bekerjasama dalam memastikan keamanan mukim dan kampung.

ARTIKEL YANG SAMA