Rumah Putih, PBB pantau dakwaan Korea Utara

Rumah Putih, PBB pantau dakwaan Korea Utara

WASHINGTON, 6 Jan (Reuters) – Rumah Putih masih tidak dapat mengesahkan dakwaan Korea Utara berjaya menjalankan ujian peranti nuklear hidrogen bersaiz kecil, namun akan terus memantau keadaan itu.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, Ned Price dalam satu kenyataan berkata, walaupun tidak dapat mengesahkan dakwaan itu ketika ini, pihaknya mengutuk sebarang pelanggaran Resolusi Majlis Keselamatan PBB khususnya mengenai nuklear.

Rumah Putih sekali lagi menyeru Korea Utara supaya mematuhi tanggungjawab dan komitmen antarabangsa mereka.

Price berkata, Amerika Syarikat akan terus melindungi dan mempertahankan sekutu mereka di rantau ini dan akan memberikan tindak balas yang sesuai kepada sebarang provokasi Korea Utara.

Manakala Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merancang mengadakan pertemuan hari ini untuk membincangkan isu ujian nuklear terbaharu Korea Utara, kata diplomat majlis itu.

Sumber memberitahu Reuters, mesyuarat akan berlangsung pada jam 11 pagi waktu tempatan dan mungkin diadakan secara tertutup.

Setakat ini, masih tidak jelas apakah tindakan yang bakal diambil oleh majlis yang dianggotai 15 negara itu.

ARTIKEL YANG SAMA