Rumah ranap dijilat api

Rumah ranap dijilat api

Oleh Syahmi Hassan & Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Sebuah keluarga telah kehilangan tempat tinggal setelah rumah mereka ranap dijilat api dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 9 pagi tadi, di Kampung Lorong Dalam, Kampong Ayer.

Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan pada jam 9:11 pagi dan telah bertindak segera dengan mengerahkan sebuah jentera dan tiga buah perahu dari Balai Bomba Laut, Balai Bomba Pelancaran dan Balai Bomba Sungai Kebun yang dianggotai seramai 14 orang anggota bomba.

Apabila sampai di tempat kejadian, pihak bomba mendapati keseluruhan rumah berkenaan telah ranap dan hanya tinggal bara-bara api namun kesemua penghuni dalam keadaan selamat.

Kerugian akibat kejadian kebakaran yang dipercayai berpunca daripada kerosakan di bahagian pendawaian yang sudah usang itu dianggarkan sebanyak $12,000.

Mangsa, Awang Bolariffin bin Haji Abdul Ghani bersama isteri dan lapan orang anaknya kini terpaksa tinggal di rumah ibu saudaranya di Kampung Saba buat sementara waktu berikutan kejadian yang tidak terduga tersebut.

Rumah Awang Bolariffin yang telah ranap dijilat api.
Rumah Awang Bolariffin yang telah ranap dijilat api.

Ketika ditemui Media Permata, Awang Bolariffin menceritakan bahawa ketika kejadian, anak-anak beliau semua pergi ke sekolah dan isteri beliau pergi ke Bandar, cuma beliau seorang sahaja berada di dalam rumah.

“Ketika itu saya sedang mandi, tiba-tiba sahaja ada kedengaran suara orang berteriak memberitahu ada terjadinya kebakaran. Apabila saya keluar, rupa-rupanya api menyala di rumah saya sendiri.

“Cuma yang ada di fikiran saya adalah untuk menyelamatkan benda-benda yang paling penting. Tiada lagi masa saya untuk menyemburkan air kepada api yang semakin membesar ketika itu kerana bagi saya ianya sudah terlambat dan mustahil bagi saya untuk memadam api berkenaan,” katanya.

Awang Bolariffin ketika ditemui Media Permata.
Awang Bolariffin ketika ditemui Media Permata.

Beg yang dapat selamatkan merangkumi barang-barang penting seperti sijil sekolah, kad pengenalan anak-anak, namun beg dompet beliau yang mengandungi kad pengenalan beliau serta harta benda yang lain telah ranap ditelan api.

Oleh kerana kehilangan tempat tinggal, beliau kini mengharapkan pihak berkepentingan untuk membantu dari segi perumahan oleh kerana ramai anak yang perlu beliau jaga.

“Kalau dapat, saya memohon pertimbangan untuk menyediakan sebuah rumah. Saya tidak mengira ianya baru ataupun lama, sebab anak saya ni ramai, hendak menumpang di rumah orang ditakuti terlalu bising dan mengganggu tuan rumah tempat kami menumpang.

“Masa ini saya tidak bekerja, hanya mengharapkan kerja sendiri ikut orang mengandas, yang pendapatannya untuk mencecah $100 pun susah, dan harapkan bantuan kebajikan.

“Lagipun saya menghidapi masalah paru-paru berkuman yang membuatkan saya cepat letih kalau bekerja. Isteri saya pula tidak bekerja kerana beliau terpaksa menjaga anak-anak kami yang ramai,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA