Rumah roboh di awal pagi, 7 sekeluarga selamat

Rumah roboh di awal pagi, 7 sekeluarga selamat

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 1 Mei – Sebuah keluarga seramai tujuh orang terselamat daripada mengalami sebarang kecederaan apabila rumah yang mereka diami roboh dalam kejadian awal pagi tadi, di Kampung Mumong Kecil, dekat sini.

Ketua keluarga tersebut, Awang Musa bin Zainal, 42, dan isterinya Dayang Suziana binti Kadir, 29, memberitahu, semasa kejadian kira-kira pukul 5:30 pagi tadi, mereka anak beranak masih tidur, dan telah dikejutkan dengan gegaran akibat bahagian dapur rumah roboh.

Berikutan kejadian itu, Awang Musa yang merupakan pekerja di syarikat tempatan dekat sini, terpaksa membawa isteri dan anak-anaknya berteduh di dalam kereta untuk menghindari daripada bahaya kerana khuatir rumah buatan papan itu roboh keseluruhannya.

Bapa kepada lima anak yang berusia empat hingga 12 tahun itu juga memberitahu, rumah yang mereka sewa sejak tiga tahun lalu itu memang sudah dalam keadaan buruk, tetapi itu sajalah kediaman yang mampu disewanya, memandangkan gajinya yang kecil dan anak yang ramai tambahan lagi kesemuanya sudah bersekolah kecuali yang paling kecil.

Awang Musa bersama dua daripada anak-anaknya berdiri di hadapan rumah mereka yang roboh.
Awang Musa bersama dua daripada anak-anaknya berdiri di hadapan rumah mereka yang roboh.
Bahagian dapur rumah Awang Musa sekeluarga roboh dalam kejadian awal pagi kelmarin.
Bahagian dapur rumah Awang Musa sekeluarga roboh dalam kejadian awal pagi kelmarin.

“Saya sudah menyewa di rumah itu sejak tahun 2012, dengan sewa sebulan $350, kami tidak mahu menyusahkan ibu bapa mertua dan ingin hidup berdikari, dan untuk menampung pendapatan, saya menjual besi buruk yang dikutip daripada kawasan sampah,” katanya.

Sebelum ini, tambahnya, beliau telah cuba untuk memohon mendapatkan berek kerajaan melalui jabatan-jabatan tertentu, tetapi masih menunggu jawapan, bagaimanapun, ekoran kejadian itu, Jabatan Daerah Belait telah menempatkan keluarga terbabit ke sebuah berek di Jalan Singa Menteri Mumong Bypass.

Akibat kejadian itu juga, banyak barangan keluarga berkenaan mengalami kerosakan, termasuk keperluan asasi mereka.

ARTIKEL YANG SAMA