Rumah sampah dijadikan tempat kegiatan

Rumah sampah dijadikan tempat kegiatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Sebuah syarikat telah didapati menggunakan rumah sampah sebagai tempat menjalankan kegiatan, tempat penyimpanan barang-barang (stor) dan tempat ruang rehat pekerja.

Malah, beberapa pengubahsuaian juga telah dibuat di bahagian dalam seperti penyambungan elektrik, paip air yang tidak mempunyai kebenaran dan sebagainya.

Lebih mendukacitakan lagi, tempat asalnya sebagai rumah sampah ini telah diubahsuai dan disewakan kepada pengusaha-pengusaha tempatan.

Kegiatan ini telah dibongkar dalam pemeriksaan mengejut Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) ke atas enam buah premis perniagaan yang beroperasi di kawasan Kampung Sengkurong.

Pemeriksaan bersepadu berkenaan turut melibatkan beberapa buah agensi lain termasuk Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Agensi Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Jabatan Perkhidmatan Eletrik, Jabatan Buruh, Jabatan Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar dan Taman Rekreasi (JASTRe) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang telah membuat beberapa tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing.

Keadaan rumah sampah yang sudah diubah suai.
Keadaan rumah sampah yang sudah diubah suai.

Menurut kenyataan JDBM, denda kompaun juga telah dikeluarkan ke atas sebuah syarikat bagi kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (Penggal 30) Bab 12 (1) b iaitu, menyimpan sebarang benda di atas kawasan tempat awam.

Pemilik premis perniagaan telah diberi tempoh seminggu untuk menjelaskannya dan jika gagal, tindakan undang-undang akan diambil.

Sehubungan itu, Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, JDBM dengan kerjasama agensi-agensi tersebut mengingatkan semua pemilik premis perniagaan serta orang awam agar sentiasa menjaga kebersihan di persekitaran perniagaan dan tidak menggunakan tempat awam bagi bertujuan untuk menjalankan perniagaan.

Di samping itu, orang ramai khususnya para pengusaha dan peniaga-peniaga digesa supaya akan sentiasa mematuhi segala undang-undang kerajaan sebagai langkah keselamatan dan kesejahteraan masyarakat awam serta alam sekitar.