Rumah setinggan dijilat api, banduan kena pindah

Rumah setinggan dijilat api, banduan kena pindah

MANILA, 4 Dis (AFP) – Kebakaran besar hari ini menyebabkan beratus-ratus banduan terpaksa dipindahkan dari sel mereka dan meranapkan rumah-rumah setinggan berhampiran penjara Manila, menjadikan beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa.

Kira-kira 500 banduan wanita dalam keadaan bergari dipindahkan dari penjara bandar Manila ke pusat tahanan berhampiran sebuah gereja kecil, tatkala api menjulang tinggi daripada rumah kediaman yang terbakar yang turut menyambar dinding luar penjara, kata pegawai biro penjara kebangsaan, Superintenden Carolina Borrinaga.

Ia merupakan kebakaran kedua yang melanda kawasan setinggan di ibu negara dalam tempoh terdekat ini.

“Syukurlah anggota bomba segera tiba ke tempat kejadian sebelum api sempat menjilat keseluruhan bangunan penjara,” Borrinaga memberitahu AFP, sambil menambah para banduan kembali ke sel mereka apabila kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya.

Kebakaran hari ini meranapkan sekurang-kurangnya 500 rumah setinggan di daerah Quiapo yang sesak di bahagian tengah Manila, menyebabkan sehingga 5,000 penduduk kehilangan tempat tinggal, kata jurucakap biro bomba kebangsaan, Renato Marcial.

Para penduduk turut membantu anggota bomba memadamkan kebakaran di kawasan setinggan berhampiran bangunan penjara di Manila pada 4 Disember 2015. – AFP
Para penduduk turut membantu anggota bomba memadamkan kebakaran di kawasan setinggan berhampiran bangunan penjara di Manila pada 4 Disember 2015. – AFP

Beberapa orang anggota bomba jatuh pengsan akibat suhu panas dan asap tebal, katanya, tetapi tiada seorang pun penduduk yang cedera arau terkorban.

Penduduk yang terdesak, dengan membawa bekalan air menggunakan baldi, cuba untuk memadamkan kebakaran manakala anggota bomba berhempas pulas menarik hos air melalui kawasan yang sempit.

Para penduduk kelihatan menyelamatkan diri sambil memikul barangan keperluan masing–masing termasuk pakaian, set televisyen dan perabot rumah.

Kepulan asap tebal dapat dilihat menjulang dari kawasan kuarter lama Manila ketika berpuluh-puluh jentera bomba bersiap siaga di kawasan berkenaan, menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas. Kebakaran turut mencetuskan beberapa letupan berpunca daripada tong gas memasak yang terbakar.