Rumah Terbuka erat hubungan keluarga

Rumah Terbuka erat hubungan keluarga

Oleh Anwar Rosly

 

IKATAN silaturahim dalam kalangan keluarga merupakan nadi kemesraan yang menyatukan keluarga Pengiran Haji Sulaiman bin Pengiran Buntar, terutamanya memandangkan beliau mempunyai 15 orang anak-anak, di mana 40 orang ahli keluarga beliau menetap di bawah satu bumbung.

Dalam temu ramah Media Permata dengan pesara berumur 74 tahun tersebut di rumah terbuka beliau di Kampung Mumong, Jalan Singa Menteri baru-baru ini, berkata mengadakan rumah terbuka telah menjadi acara tahunan bagi keluarga beliau semenjak tinggal di kampung ini selama 20 tahun.

“Setiap kali datangnya Hari Raya Aidilfitri, anak-anak saya akan menyediakan beberapa aneka juadah seperti roti john, laksa, martabak, dan makanan-makanan bergoreng seperti ayam, lauk, daging dan lain-lain lagi bagi orang ramai yang berkunjung ke sini,” Kata Pengiran Haji Sulaiman.

Apabila ditanya mengenai keramaian pengunjung, Pengiran Haji Sulaiman menyatakan sekitar 1,000 orang sanak-saudara, sahabat handai dan rakan-rakan sekerja anak-anak beliau telah datang untuk bersama-sama keluarga beliau.

Keluarga Pengiran Haji Sulaiman bergambar ramai di acara rumah terbuka di Kampung Mumong.
Keluarga Pengiran Haji Sulaiman bergambar ramai di acara rumah terbuka di Kampung Mumong.
Ahli-ahli keluarga Pengiran Haji Sulaiman dengan hidangan juadah yang mereka sediakan untuk pengunjung.
Ahli-ahli keluarga Pengiran Haji Sulaiman dengan hidangan juadah yang mereka sediakan untuk pengunjung.

Mendapat liputan

Kisah mengenai keramaian keluarga Pengiran Haji Sulaiman sebelum ini pernah dipaparkan di dalam sebuah segmen Rancangan Nona di TV3 serta di Rangkaian Televisyen Brunei.

Pengiran Haji Sulaiman mengongsi ajaran didikan beliau mengenai kesepaduan dalam keluarga bersatu, iaitu dengan makan bersama-sama keluarga tidak kira acara mahupun di hari kelepasan dan terutamanya ketika makan sarapan, tengah hari dan di waktu malam.

“Adalah menjadi satu tradisi juga bagi saya untuk melihat kesemua ahli keluarga saya yang tinggal di bawah satu bumbung untuk makan bersama-sama, dan selalunya saya akan menunggu mereka baru saya akan memulakan makan harian apabila mereka sudah sampai ke rumah,” beliau menambah.

Pengiran Haji Sulaiman juga berkata apabila tibanya makan harian mereka bersama-sama, selalunya akan mengambil keluasan meja sepanjang 20 ke 30 kaki dan menyatakan bila kesemua ahli keluarga beliau hadir adalah pemandangan yang beliau sangat nantikan.