Rumah Terbuka RBC

Rumah Terbuka RBC

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Walaupun Bulan Syawal sudah berakhir, namun kemeriahan Hari Raya Aidilfitri masih lagi dirasai di negara ini, dengan majlis-majlis sambutan masih diadakan oleh pelbagai pihak termasuk Royal Brunei Catering (RBC) yang mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya di Restoran Horizon Seafood, Dermaga Diraja, di sini, hari ini.

Antara yang hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan (Fiskal), Dato Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah selaku Pengerusi RBC, ahli-ahli lembaga pengarah, para pegawai kerajaan, pelanggan, rakan-rakan daripada sektor awam dan swasta serta para jemputan.

Para tetamu telah disambut mesra oleh pihak pengurusan dan kakitangan yang diketuai oleh Pengurus Besar RBC, Awang Ahmad Husaini bin Hassan.

Pada majlis itu, tetamu disajikan pelbagai hidangan dengan membawakan konsep ‘Silk Road Food Trail – International Hari Raya Cuisine’.

Sesuai dengan konsep itu, hidangan yang disajikan terdiri daripada masakan-masakan terkenal dari negara-negara Asia Tenggara sehingga ke Timur Tengah

Dato Paduka Haji Hisham hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya RBC yang diadakan di Restoran Horizon Seafood.
Dato Paduka Haji Hisham hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya RBC yang diadakan di Restoran Horizon Seafood.
Pelbagai jenis makanan telah disediakan untuk dinikmati oleh para tetamu yang hadir.
Pelbagai jenis makanan telah disediakan untuk dinikmati oleh para tetamu yang hadir.

Di samping menikmati hidangan, tetamu juga berpeluang membawa pulang gambar kenangan menghadiri majlis berkenaan menerusi pondok gambar yang telah disediakan.

Majlis berkenaan juga merupakan pratonton (sneak preview) restoran baru syarikat berkenaan iaitu Restoran Horizon Seafood yang memberikan pemandangan cantik yang terdapat di Kampong Ayer dan akan dibuka dalam masa terdekat.

Sambutan perayaan berkenaan juga memberi peluang kepada para jemputan untuk beramah mesra sesama mereka dan berkenalan bersama kakitangan RBC.

Kakitangan Am RBC telah bekerja keras untuk menjadikan acara berkenaan berjaya dan gembira dengan hasilnya. Ia juga memperlihatkan kerjasama berpasukan antara kakitangan yang berharga bagi syarikat berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA