Rumah unik dibina guna lebih 10,000 batu sungai

Rumah unik dibina guna lebih 10,000 batu sungai

BALING, 14 Okt – Keunikan dinding rumah pasangan warga emas di Kampung Carok Kelian, Pulai di sini yang dibina daripada susunan lebih 10,000 batu sungai menarik perhatian orang ramai sejak ia dibina 12 tahun lalu.

Lebih menarik lagi, rumah tersebut tidak ubah seperti muzium apabila ia turut menempatkan lebih 50 koleksi pelbagai jenis barangan antik dan lama seperti tempayan, jam tangan, basikal tua serta pelbagai jenis botol.

Mohd Isa Din, 68, yang hanya bekerja sendiri berkata ilham beliau timbul pada tahun 2003 untuk membina dinding rumah daripada ketulan batu sungai, memandangkan ia dilihat satu idea yang jarang dibuat oleh orang lain.

“Daripada situ saya mula mengumpul batu sungai pelbagai saiz daripada sungai kecil yang tidak jauh dari rumah saya selama empat bulan pada 2003,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini hari ini.

Jelasnya, kerja-kerja pembinaan bermula 2004 mengambil masa hampir setahun dengan dibantu beberapa penduduk kampung yang diupahnya bagi kerja-kerja membancuh simen manakala beliau sendiri yang akan menyusun ketulan batu mengikut kesesuaian.

Mohd Isa Din, 68, menunjukkan dinding rumahnya yang dibina daripada susunan lebih 10,000 batu sungai pelbagai saiz sebagai hiasan dinding di Kampung Carok Kelian, Pulai, kelmarin. – Bernama
Mohd Isa Din, 68, menunjukkan dinding rumahnya yang dibina daripada susunan lebih 10,000 batu sungai pelbagai saiz sebagai hiasan dinding di Kampung Carok Kelian, Pulai, kelmarin. – Bernama

Pagar rumahnya turut dibina menggunakan ketulan batu sungai dan beliau berkata hanya membelanjakan lebih RM1,500 untuk menyiapkan rumahnya itu.

Isterinya, Che Simah Che Daud, 66, turut berkongsi minat yang sama berkata rumah mereka sentiasa dikunjungi orang ramai yang ingin melihat lebih dekat seni bina rumah yang unik itu.

“Ramai tetamu dan jiran yang datang meluahkan rasa kagum dengan seni bina dinding serta terdapat banyak barangan lama untuk mereka lihat,” katanya.

Tidak hairanlah rumah mereka sentiasa tersusun kemas dan bersih malah mereka berkata turut bersedia menerima kehadiran lebih ramai pengunjung yang ingin melihat rumah mereka selepas ini. – Bernama