Rumah warga emas Pekan Seria dapat perhatian

Rumah warga emas Pekan Seria dapat perhatian

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 13 Sept – Rombongan seramai 40 ahli Persatuan Kerjasama Kuang Hui dari Bandar Seri Begawan, hari ini, telah membuat kunjungan ke Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria di sini, untuk menyampaikan sumbangan berupa makanan asasi, Ang Pow dan kuih-muih sempena Sambutan Kuih Bulan.

Timbalan Pengerusi persatuan, Awang Wong Chin Shung semasa ditemui Media Permata memberitahu, aktiviti itu juga merupakan antara program yang dimasukkan ke dalam kalendar aktiviti tahunan persatuan untuk mengeratkan kerjasama antara ahli persatuan dan masyarakat termasuk memberikan perhatian kepada warga emas yang kurang bernasib baik seperti penghuni di Rumah Orang-orang Tua di Pekan Seria yang tidak mempunyai sanak saudara.

Mengetuai rombongan berkenaan ialah Presiden persatuan, Awang Yapp Boon Sing yang turut disertai barisan penasihat persatuan antaranya Awang Wong Ming Ching, Awang Sim Wee Siang dan Awang Lee Nyuk On.

Turut dimuatkan ke dalam aktiviti kunjungan di rumah kediaman warga emas itu ialah menyediakan makan tengah hari untuk dinikmati bersama warga emas.

Rumah warga emas itu setakat ini menempatkan kira-kira kurang 10 orang warga emas terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai saudara terdekat, hidup sebatang kara dan berusia antara 60 hingga 80-an.

Warga emas turut menerima Ang Pow daripada barisan penasihat dan ahli-ahli persatuan.
Warga emas turut menerima Ang Pow daripada barisan penasihat dan ahli-ahli persatuan.

Rumah tersebut dikendalikan oleh beberapa orang sukarelawan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan penghuninya.

Untuk menceriakan lagi suasana, seorang penyanyi undangan persatuan turut menghiburkan warga emas dengan nyanyian klasik Cina yang membawa mesej keindahan pada musim perayaan dan lagu-lagu yang membawa mesej rasa kasih sayang dan kecintaan.

Persatuan yang mempunyai lebih 300 keahlian itu ditubuhkan sejak 1970 dan telah bergiat aktif dalam melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti menderma darah, membantu mereka yang memerlukan, mengadakan majlis keraian masyarakat Cina seperti Sambutan Tahun Baru, Pesta Kuih Bulan dan sebagainya di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA