Rumah warga emas ranap dijilat api

Rumah warga emas ranap dijilat api

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 9 Nov – Sebuah rumah banglo yang didiami seorang warga emas berusia 84 tahun bersama keluarganya di Jalan Palu, Kampung Penanjong ranap dijilat api dalam kejadian kebakaran yang berlaku petang kelmarin.

Menurut kenyataan yang diberikan, kebakaran di rumah milik Haji Abdullah bin Metamit itu dipercayai berpunca daripada alat pengecas bateri melalui penyambungan wayar extension yang terlebih beban.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, bagaimanapun kerugian masih lagi dalam siasatan.

Balai Bomba Tutong dalam kenyataannya memberitahu, mereka menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5:53 petang.

Setelah sampai di tempat kejadian, pihak bomba mendapati api besar membakar keseluruhan rumah tersebut namun mereka berjaya mengawal api berkenaan dalam masa lima minit.

Mangsa kebakaran menerima sumbangan asasi dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) cawangan Daerah Tutong.
Mangsa kebakaran menerima sumbangan asasi dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) cawangan Daerah Tutong.

Anak Haji Abdullah, Awang Mohammad yang juga tinggal di rumah berkenaan menceritakan bahawa semasa kejadian itu, mereka sedang memasak di dapur apabila anaknya terlihat gumpalan asap keluar dari bilik tidur mereka.

Setelah diberitahu oleh anaknya, beliau sempat memadam api di biliknya namun melihat keadaan api yang merebak terlalu cepat dan dalam keadaan panik, beliau bersama ahli keluarganya segera keluar menyelamatkan diri.

Ketika ini, beliau bersama ahli keluarganya tinggal di rumah saudaranya.

Bagi meringankan beban mangsa kebakaran, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) cawangan Daerah Tutong, pagi tadi, telah menghulurkan sumbangan asasi kepada mangsa kebakaran tersebut.

Hadir meninjau di tempat kejadian pagi tadi ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Awang Hassan bin Amat, wakil dari Jabatan Daerah Tutong dan Ketua Kampung Penanjong, Haji Jumat bin Haji Abdul Kadir.

ARTIKEL YANG SAMA