Rumput padang Lille diganti

Rumput padang Lille diganti

LILLE, 24 Jun (AFP) – Permukaan padang Stadium Lille untuk aksi Euro 2016 sudah diganti semalam selepas pelbagai kritikan hebat diajukan mengenai keadaan padang terbabit.

UEFA mengakui padang itu mengalami ‘kerosakan yang tidak boleh diperbaiki semula’ berikutan cuaca buruk yang melanda Lille beberapa minggu kebelakangan ini.

Stadium yang boleh memuatkan 50,000 penyokong itu akan menjadi tuan rumah pertemuan peringkat 16 terakhir antara Jerman dengan Slovakia pada awal pagi Isnin dan aksi suku akhir pada 1 Julai ini.

Pengendali Itali, Antonio Conte menyelar permukaan padang itu sebagai tidak mencapai standard untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Eropah sebelum kekalahan 1-0 pasukannya kepada Republik Ireland, Rabu lalu.

Kerja-kerja mengganti rumput padang stadium Lille sedang giat dijalankan. – AFP
Kerja-kerja mengganti rumput padang stadium Lille sedang giat dijalankan. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, berkata ia amat ‘memalukan’ untuk beraksi di Stadium Lille ketika Les Bleus terikat tanpa jaringan dengan Switzerland minggu ini, yang mana beberapa pemain sering tergelincir di atas padang terbabit.

Masalah-masalah padang telah mencemarkan kejohanan itu di mana Deschamps juga melabelkan padang di Marseille ‘satu malapetaka’ selepas kemenangan tuan rumah itu 2-0 ke atas Albania.

Beberapa sesi latihan pra-perlawanan yang selalunya dijalankan di stadium itu sebelum perlawanan sebenar bermula terpaksa dipindahkan untuk memberikan rumput masa yang lebih untuk pulih antara perlawanan.