Rumput panjang cetus kebimbangan

Rumput panjang cetus kebimbangan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 27 Ogos – Orang ramai terutama sekali penduduk di kawasan Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan C menyuarakan kebimbangan mereka berhubung keadaan rumput panjang di persekitaran kawasan Taman Permainan Lagoon berhampiran, terutamanya daripada mereka yang selalu membuat larian di sekitar kawasan tersebut.

Menurut mereka rumput yang panjang sehingga menutup longkang dan kawasan pejalan kaki, dilihat sebagai kurang menyenangkan selain ia dikhuatiri akan mendatangkan bahaya kepada mereka yang bersenam membuat larian di sana dan kanak-kanak yang bermain papan luncur di tempat yang berdekatan setiap hari.

Beberapa orang penduduk yang ditemuramah oleh Media Permata menjelaskan pengalaman mereka apabila membuat senaman di sana.

Awang Muhammad Yusof yang ditemui ketika hendak bersenam bersama anak perempuannya menceritakan setiap kali musim hujan turun, kawasan itu mudah dinaiki air, dan yakin ia berpunca daripada rumput panjang yang menutupi longkang dan jika tidak pun adalah kerana tapak larian yang sempit dan rendah yang meliputi kawasan seluas 1.5 kilometer mengelilingi taman tersebut.

Manakala, Awang Faizal Morshidi menceritakan bagaimana beliau dan juga kawannya pernah terserempak dengan seekor ular.

Rumput panjang di kawasan laluan yang sering digunakan orang ramai untuk berlari.
Rumput panjang di kawasan laluan yang sering digunakan orang ramai untuk berlari.
Vandalisme dan kurangnya penjagaan yang teratur di tandas awam boleh membawa perkara-perkara yang tidak bermoral untuk dilakukan di sini.
Vandalisme dan kurangnya penjagaan yang teratur di tandas awam boleh membawa perkara-perkara yang tidak bermoral untuk dilakukan di sini.

“Saya tidak ingat jenis ular itu namun saya masih ingat ia berada dekat dua kaki dari mana saya berlari mujurlah kawan saya menyedari apa yang berlaku dan sempat memberi saya amaran untuk mengelak,” beliau berkata.

Kini kedua-duanya mengambil langkah berhati-hati untuk mengelak dari berlari di tempat di mana mereka menjumpai ular tersebut.

“Malah tempat larian yang sempit juga menyukarkan lagi untuk kami berlari di atas nya bukan sahaja kerana rumput yang panjang menutupi jalan bagi pejalan kaki, takungan air selepas hujan dari longkang akibat sampah dan kekotoran juga menyebabkan kami terpaksa berlari di atas jalan raya,” Faizal menyuarakan kebimbangannya.

Namun rumput yang panjang bukan sahaja isu yang dihadapi penduduk di sana, vandalisme atau perbuatan pugut terhadap peralatan-peralatan permainan dan tandas awam yang disediakan juga teruk dibinasakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Menurut salah seorang penduduk kampung lagi yang tidak ingin dikenali, permainan-permainan serta tandas tersebut sudah pernah diperbaiki namun perkara pugut ini kekal lagi terjadi.

Menurutnya lagi, pembersihan dan pemotongan rumput sering dilihat dari awal Januari lalu tetapi sejak bulan Mac, tiada pungutan sampah atau pemotongan rumput dijalankan sehingga kini.

Sehubungan itu penduduk di kawasan perumahan itu berharap pihak berkenaan yang bertanggungjawab ke atas kerja-kerja pemuliharaan alam sekitar dan memotong rumput di kawasan itu supaya akan bertindak segera bagi kemudahan pengguna-pengguna awam.