Rumput panjang undang bahaya

Rumput panjang undang bahaya

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 10 Dis – Perjalanan dari rumah datuk dan nenek yang dilawatinya di kampung untuk ke kedai runcit berhampiran, bertukar tragedi kepada seorang budak berusia 13 tahun apabila dilanggar kereta ketika cuba menyeberangi Simpang 75 di Kampung Pandan, Kuala Belait semalam.

Budak tersebut mengalami kecederaan ringan di sebelah kiri badan, termasuk di kepala dan kini dirawat di Hospital Suri Seri Begawan selepas kejadian sejurus sebelum jam 2 petang itu.

Bapa mangsa yang enggan mendedahkan identiti anaknya, memberitahu wartawan Media Permata bahawa anaknya sudah pun mengamalkan sikap berhati-hati ketika menyeberang jalan, namun keadaan jalan menjadi bahaya kerana rumput-rumput panjang menghalang pemandangan anaknya dan pemandu kereta.

Pasukan Polis Diraja Brunei sedang menyiasat kes ini dan punca kemalangan belum lagi disahkan.

Penghulu Kuala Belait, Haji Pungut bin Haji Ali yang tinggal di simpang yang sama, turut mengatakan rumput panjang di Simpang 15 hingga Simpang 75 itu yang belum dipotong mendatangkan bahaya kepada mana-mana pengguna jalan raya.

“Ia menghalang penglihatan orang keluar dari Simpang 15, untuk menyeberang jalan. Terdapat juga seorang warga emas beberapa tahun lalu kemalangan apabila keluar simpang ini,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA