Rumput tumbuh di merata tempat

Rumput tumbuh di merata tempat

SEJAK akhir-akhir ini, dalam tempoh dua hingga ketiga bulan yang lalu keadaan alam sekitar di kawasan-kawasan tertentu kelihatan tidak menyenangkan. Di sepanjang jalan raya lama dari Kampong Kupang menuju ke Pekan Tutong dan seterusnya ke Kuala Tutong didapati jalan-jalan tersebut serta parit yang tertutup dan tersumbat akibat daripada keadaan yang begitu semak dengan ditumbuhi rumput lalang yang panjang.

Keadaan yang sama juga dapat dilihat di sepanjang jalan lebuh raya dari Daerah Tutong menghala ke Jerudong, terdapat keadaan rumput yang begitu panjang sehingga mencapai paras ketinggian 1-2 meter tinggi sehingga boleh menutupi pagar-pagar dan tanda-tanda yang terdapat di tepi-tepi jalan berkenaan.

Manakala dari Seria ke Kuala Belait, sepanjang lebuh raya menuju ke Mumong dan sekitarnya juga terdapat tumbuhan rumput yang tinggi di sepanjang jalan raya di daerah tersebut.

Selalunya pembersihan atau pemotongan rumput di tepi-tepi jalan raya tidak termasuk pembersihan parit adalah dilakukan oleh pihak pemborong swasta setiap sebulan sekali. Malangnya pada tahun ini (2016) berlaku dua kali kelambatan iaitu dalam tempoh dari bulan Februari hingga Mac dan pada bulan April hingga Jun 2016.

Punca kelambatan yang berlaku adalah tidak diketahui. Mungkin banyak sebab yang munasabah kelambatan ini berlaku yang orang ramai tidak perlu ketahui? Ini boleh menimbulkan persepsi atau andaian yang tidak sihat mengapa perkara sedemikian itu berlaku.

pg06_160627_a

Mengikut pemerhatian orang ramai, kerja-kerja pembersihan pemotongan rumput selama ini yang dikerjakan oleh pemborong swasta yang pekerjanya terdiri daripada orang-orang asing. Apa yang menyedihkan kerja yang me-reka lakukan selama ini tidak memuaskan iaitu cara pemotongan rumput yang tidak sampai ke paras tanah. Adalah elok jika pemborong swasta dan jabatan berkenaan dapat memantau kerja-kerja tersebut dan memberikan arahan-arahan yang sepatutnya.

Keadaan alam sekitar yang bersih, indah dan menarik amat diperlukan oleh setiap manusia sebagai salah satu keperluan yang asasi bukan sahaja boleh menarik para pelancong tetapi yang penting boleh menimbulkan suasana kehidupan yang harmoni yang melambangkan kemakmuran sesebuah negara.

Kemakmuran bukan hanya diukur dari segi taraf keamanan dan keselamatan yang terjamin, malah kebersihan alam sekitar juga memainkan peranan yang sama. Bayangkan kawasan-kawasan semak, kotor, rumput yang panjang, parit-parit yang ditumbuhi dengan rumput-rumput liar menjadi semak dan tersumbat, semua ini memberikan gambaran seolah-olah ada sesuatu yang tidak terurus dengan sempurna yang tidak sepatutnya berlaku kepada sebuah yang negara yang meningkat maju dan makmur.

Di manakah peranan rakyat dan orang ramai bagi mengatasi kepincangan ini? Apakah semua ini menjadi tanggungjawab pihak kerajaan semata-mata kerana sudah menjadi kelaziman selama ini bahawa tanggungjawab itu dipikul oleh kerajaan sepenuhnya. Masa sudah berubah, keadaan sudah berubah, mungkin kemakmuran dan kenikmatan juga turut berubah, maka orang ramai juga perlu merubah sikap supaya perasaan ‘sense of belonging’ itu dapat diterapkan dalam kehidupan berbudaya dan bernegara.

Adalah disyorkan dan dicadangkan mana-mana kawasan yang terdapat rumput-rumput panjang di tepi jalan yang berhadapan dengan kawasan rumah masing-masing untuk bermurah hati secara sukarela melakukan pembersihan masing-masing dengan tidak mengharapkan pihak kerajaan melakukannya. Inilah perubahan sikap yang perlu diterapkan dalam kehidupan bernegara. Kerjasama orang ramai dan kerajaan mempunyai tanggungjawab bersama. Penduduk Jati Tutong

ARTIKEL YANG SAMA