Rundingan berjalan lancar

Rundingan berjalan lancar

LUNDU (Sarawak), 15 Sept (Bernama) – Pusingan pertama rundingan mengenai konsep penurunan kuasa tertentu daripada jabatan persekutuan kepada kerajaan negeri Sarawak dan Sabah berjalan dengan lancar, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata di bawah konsep itu, beberapa keputusan berkaitan dengan kepentingan di negeri terbabit dapat dibuat tanpa merujuk kepada pusat pentadbiran persekutuan di Putrajaya. Beliau berkata kerajaan negeri pastinya lebih faham dan mengetahui denganlebih tepat mengenai apa yang paling sesuai untuk dilaksanakan di peringkat tempatan.

“Kita runding (perkara itu) supaya ada keutamaan dalam projek-projek seperti keperluan (kemudahan) luar bandar, sekolah, hospital dan sebagainya, kita mahu perkara ini ditentukan oleh Sarawak,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Projek Lebuh raya Pan Borneo jajaran Teluk Melano dan Sematan di Sematan, hari ini.

Katanya konsep itu juga bertujuan memperkasa jabatan-jabatan kerajaan di samping dapat mengelak sekiranya ada sebarang pertindihan dalam bidang kuasa antara jabatan-jabatan kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Sambil membayangkan beliau akan memberi maklumat lanjut mengenainya pada majlis sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah esok, Najib berkata hasrat kerajaan pusat dilihat seiring dengan hasrat kerajaan negeri untuk mengimbangi pembangunan seluruh negara, bersifat inklusif, tiada etnik yang tercicir, dan tiada tempat tertentu yang disisihkan.