Rundingan cari jalan perdamaian

Rundingan cari jalan perdamaian

BEIRUT, 12 Nov (AFP) – Rundingan berhubung konflik Syria di Vienna hujung minggu ini akan menumpu pada menentukan kumpulan pembangkang yang mana seharusnya berunding dengan rejim Presiden Bashar al-Assad dan kumpulan yang mana ditentukan sebagai pengganas, menurut sumber-sumber itu semalam.

Rundingan akan mengumpulkan 20 badan dan antarabangsa untuk membincangkan lebih terperinci peta jalan bagi perdamaian untuk menamatkan perang saudara Syria yang sudah pun berlarutan lebih empat tahun dan para diplomat berkata rundingan peringkat kerja dijangka bermula awal hari ini.

Para pegawai Barat telah pun mengenepikan rancangan reformasi politik yang dibentuk Moscow yang dikemukakan bagi mesyuarat itu – yang kedua di Vienna dalam tempoh kurang sebulan – dengan mengatakan ia tidak menjelaskan apa akan berlaku pada Assad.

Cubaan sebelumnya untuk menamatkan perang saudara, yang mengorbankan lebih 250,000 orang dan memaksa berjuta-juta orang lagi lari meninggalkan rumah mereka, telah gagal. Pihak Barat menegaskan beliau mesti meletak jawatan, sementara Rusia dan Iran menyokong rejim itu.

Usaha diplomatik untuk menyelesaikan konflik itu telah menjadi semakin pantas sejak Rusia melancarkan serangan udaranya di Syria pada lewat September lalu.

Moscow berkata mereka bermatlamat mmembantu menghalang para pengganas dari melakukan penindasan terhadap negara itu, tetapi kuasa-kuasa Barat menuduh Rusia cuba membantu pasukan Assad dan campur tangan itu seterusnya menyuramkan hubungan yang sudah pun tegang antara kedua belah pihak.

Raja Jordan, Abdullah II semalam mengkritik ‘mentaliti Perang Dingin’ yang telah menjejaskan rundingan sebelumnya yang melibatkan Rusia dan Pihak Barat, dengan berkata Moscow adalah yang berperanan penting dalam rundingan untuk mencapai penyelesaian politik kepada krisis Syria.