Rundingan damai awal bulan depan

Rundingan damai awal bulan depan

BANGKOK, 22 Ogos – Rundingan damai selatan Thailand antara kerajaan Thailand dan Majlis Syura Patani (MARA Patani) akan disambung semula bulan depan selepas pertemuan kali terakhir kedua-dua pihak pada April lalu.

Menurut sumber dalaman MARA Patani yang mendedahkan perkembangan positif itu, rundingan damai bulan depan akan memasuki peringkat rasmi selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan berkaitan isu Terma Rujukan (TOR).

“Secara tentatif, (rundingan damai peringkat rasmi) akan bermula pada awal September. Ia adalah permulaan dialog (damai) secara rasmi, isu mengenai TOR telah selesai,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Selaras statusnya sebagai rundingan damai rasmi, beliau berkata kedua-dua pihak bakal mengadakan rundingan yang menyentuh beberapa isu substantif berkaitan konflik di selatan Thailand.

Bagaimanapun, sumber dalaman MARA Patani itu enggan mendedahkan isu substantif yang bakal dibincangkan dalam rundingan rasmi dan sekadar berkata “ia akan diberitahu kemudian.”

Kerajaan Malaysia bertindak sebagai fasilitator kepada rundingan damai antara kerajaan Thailand dan MARA Patani.

Ditanya bila MARA Patani dimaklumkan berkaitan rundingan damai terbaharu itu pada bulan depan, beliau berkata pihaknya hanya mendapat tahu tentang perkara tersebut pada Selasa lepas. (16 Ogos)

Rundingan tidak rasmi antara kerajaan Thailand dan MARA Patani, yang merupakan organisasi payung bagi beberapa kumpulan militan selatan Thailand, terbantut pada April selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan berkaitan TOR.

MARA Patani telah melahirkan kekecewaannya terhadap kegagalan itu dan dilaporkan sebagai berkata “TOR amat penting dan disifatkan seperti ‘pengadil’ kepada kelancaran rundingan damai.”

MARA Patani dianggotai Kumpulan Bertindak BRN, Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP), Pertubuhan Persatuan Pembebasan Patani (PULO-P4), Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO-dspp), Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO-mkp) dan Gerakan Mujahidin Islam Patani (GMIP).

Jurucakap MARA Patani Dr Abu Hafez al-Hakim dilaporkan sebagai berkata pemeteraian TOR akan membawa rundingan itu ke peringkat rasmi bagi membolehkan kedua-dua pihak membincangkan isu yang substantif.

Bagaimanapun, dalam pertemuan di Kuala Lumpur pada April lepas, kerajaan Thailand yang diterajui ketua perunding damainya Jeneral Aksara Kerdphol enggan memeterai TOR kerana belum mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha.

Dalam temu ramah dengan Bernama di Bangkok, Aksara berkata kerajaan Thailand akan terus berunding untuk mencapai keamanan di selatan Thailand kerana ia adalah “pilihan terbaik.” – Bernama