Rundingan damai India-Pakistan gagal

Rundingan damai India-Pakistan gagal

NEW DELHI/ISLAMABAD, 23 Ogos (Reuters) – Kegagalan rancangan rundingan damai antara India dan Pakistan beberapa jam sebelum ia bermula hari ini membangkitkan persoalan mengenai kesediaan kedua-dua negara bermusuhan untuk mengatasi rasa tidak percaya antara kedua-duanya, yang wujud sejak pemisahan mereka hampir tujuh dekad lalu.

Ini adalah kali kedua kedua-dua negara nuklear yang berjiran ini membatalkan rundingan sejak Perdana Menteri India, Narendra Modi memegang tampuk kepimpinan pada Mei tahun lalu.

Keadaan itu menyaksikan kedua-dua belah pihak memilih untuk terlibat dalam perang mulut sebelum rancangan mesyuarat dua hari penasihat keselamatan tertinggi mereka.

Sejak Modi dan rakan sejawatnya dari Pakistan, Nawaz Sharif, bersetuju pada rundingan di Rusia bulan lalu, pencabulan gencatan senjata di sempadan kedua-dua negara telah meningkat.

Para penganalisis bimbang ia mungkin terus meningkat.

Gambar fail bertarikh 27 November 2014 menunjukkan Perdana Menteri India Narendra Modi (kiri) berbual sesuatu dengan rakan sejawatnya dari Pakistan Nawaz Sharif (kanan) pada sesi penutup Kemuncak Kerjasama Serantau Asia Selatan di Kathmandu, Nepal. – Reuters
Gambar fail bertarikh 27 November 2014 menunjukkan Perdana Menteri India Narendra Modi (kiri) berbual sesuatu dengan rakan sejawatnya dari Pakistan Nawaz Sharif (kanan) pada sesi penutup Kemuncak Kerjasama Serantau Asia Selatan di Kathmandu, Nepal. – Reuters

“Maksudnya ialah lebih banyak saling tuduh menuduh, rasa sakit hati, lebih banyak provokasi,” kata Siddharth Varadarajan, seorang penganalisis politik dan bekas editor sebuah surat khabar berbahasa Hindu di India.

“Dalam erti kata lain, penyumbangan corak yang pernah kita lihat dalam tempoh beberapa minggu lalu.”

India dan Pakistan telah terlibat dengan tiga peperangan sejak menjadi negara merdeka pada tahun 1947.

Dua dari peperangan itu adalah kerana rantau Kashmir di Himalaya, yang kedua-duanya tuntut sepenuhnya tetapi diperintah sebahagiannya.