Rundingan damai Syria ditangguh

Rundingan damai Syria ditangguh

GENEVA, 27 Mei – Rundingan damai Syria yang bertujun menamatkan konflik selama lima tahun di negara itu tidak dapat diteruskan untuk tempoh dua hingga tiga minggu lagi, kata wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria Staffan De Mistura dalam satu kenyataan pada Khamis.

“De Mistura mengulangi perlunya melihat kemajuan di peringkat awal terlebih dahulu terutamanya yang berkaitan dengan akses kemanusiaan dan pemberhentian permusuhan,” menurut kenyataan pejabat wakil khas itu selepas taklimat dengan Majlis Keselamatan PBB di New York menerusi sidang video, lapor agensi berita China Xinhua.

“Beliau menerangkan mengenai hasrat untuk memulakan rundingan damai seterusnya secepat mungkin tetapi ia tidak mungkin diadakan dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang,” jelas kenyataan itu.

Perkara itu diumumkan di tengah-tengah negara Syria dilanda peperangan selain berdepan isu kemanusiaan yang mana penduduk awam berterusan menghadapi masalah endemik akibat kekurangan makanan, air dan bekalan ubatan.

Petugas kemanusiaan berharap pada bulan ini usaha untuk berhubung dengan sejuta orang yang tinggal dalam kepungan dan kawasan sukar dimasuki dapat direalisasikan meskipun setakat ini hanya 160,000 orang sahaja dapat diberikan bantuan.

Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault (kiri) bergambar bersama Staffan de Mistura selepas rundingan damai Syria di Paris, kelmarin. – AFP
Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault (kiri) bergambar bersama Staffan de Mistura selepas rundingan damai Syria di Paris, kelmarin. – AFP

Keganasan yang berterusan tanpa henti dan genjatan senjata pada Febuari yang dicabuli menyebabkan bantuan kemanusiaan terus terhalang disebabkan pertempuran puak bertelagah.

Sementara itu, Pegawai Kanan PBB Jan Egeland menggambarkan keadaan di Darayya, Moadamyia dan Al-Waer sebagai “kritikal yang amat dasyat”.

De Mistura akan terus berhubung rapat dengan pihak Syria dan anggota Kumpulan Sokongan Antarabangsa Syria sebelum menetapkan masa yang sesuai untuk memulakan kembali rundingan damai. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA