Rundingan damai Syria mungkin tertunda

Rundingan damai Syria mungkin tertunda

ZURICH, 21 Jan – Rundingan di antara kerajaan Syria dan kumpulan pembangkang yang dijangka bermula pada 25 Jan mungkin ditangguhkan, tetapi kuasa besar mesti menyaingi tekanan untuk membawa peserta ke meja rundingan, kata duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam.

Satu majlis pembangkang Syria yang disokong oleh Arab Saudi berkata semalam ia tidak akan menghadiri rundingan di Geneva dengan kerajaan sekiranya kumpulan ketiga mengambil bahagian, satu rujukan kepada bidaan Rusia untuk menambah kumpulan pembangkang.

Duta Khas PBB Staffan de Mistura bercakap dalam satu temu bual dengan penyiar CNN, beberapa jam selepas Setiausaha negara AS John Kerry dan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov mengadakan rundingan di Zurich meskipun tidak adanya tanda-tanda perjanjian mengenai siapa yang harus mewakili pembangkang.

“Kami tidak berhasrat menangguh rundingan dari Januari ke Februari. Ia adalah keputusan Rusia dan Amerika Syarikat, dan kami yakin dalam tempoh beberapa hari akan datang, pada Januari, rundingan sedemikian mesti bermula,” kata Lavrov.

Pelbagai tarikh sedang dicadangkan, tetapi keputusan muktamad akan bergantung pada Setiausaha Agung PBB berdasarkan nasihat de Mistura, kata beliau.

Jurucakap Kerry, John Kirby, berkata Kerry dan Lavrov membincang “kepentingan mengekalkan kemajuan ke arah penyelesaian diplomatik terhadap krisis di Syria.”

“Tidak terdapatnya perubahan dalam hasrat kami untuk melihat mesyuarat ini berlaku pada 25,” kata beliau.

Satu penangguhan selama sehari atau dua hari dalam permulaan rundingan tidak membawa kesan teruk, kata jurucakap Jabatan Negara AS pada lewat semalam di Washington.

Kirby berkata Kerry juga mendesak Rusia supaya menggunakan pengaruhnya dengan Presiden Syria Bashar al-Assad untuk memastikan bantuan kemanusiaan tidak menghadapi masalah, terutamanya kepada penduduk Syria di kawasan dikepung seperti Madaya di mana penduduk dilaporkan telah meninggal dunia akibat kelaparan. – Reuters