Rundingan Greece ‘amat sukar’

Rundingan Greece ‘amat sukar’

BRUSSELS, 12 Julai (AFP) – Greece hari ini menghadapi sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU) terakhir untuk mencapai satu perjanjian yang akan menghalang Athens daripada disingkirkan dari zon euro selepas menteri-menteri zon euro menghentikan rundingan “amat sukar” mengenai jaminan baru semalaman.

Mesyuarat kumpulan Euro yang diadakan semalam, terdiri daripada menteri-menteri kewangan dari 19 negara kawasan mata wang tunggal, sepatutnya membuka laluan kepada kesemua 28 pemimpin Kesatuan Eropah untuk menandatangani perjanjian muktamad pada satu sidang kemuncak kecemasan pada hari berikutnya, dianggap peluang terakhir untuk mengekalkan Greece dalam euro.

Namun negara yang was-was menuntut lebih banyak komitmen daripada Athens, dengan dokumen kerajaan Jerman menunjukkan Berlin telah merangka pelan untuk Greece meninggalkan zon euro buat sementara waktu, sementara Finland dilaporkan memutuskan tidak akan menerima sebarang pelan menyelamat baru untuk Greece.

Ketua kumpulan Euro Jeroen Dijsselbloem berkata “isu kebolehpercayaan dan kepercayaan dibincangkan” oleh menteri-menteri, yang was-was dengan komitmen kerajaan Greece untuk melaksanakan pembaharuan baru yang menyerupai pembaharuan yang ditolak oleh pengundi dalam referendum mengejutkan.

Perdana Menteri Greece ketika bercakap dalam sidang kemuncak zon euro di Brussels. – Reuters
Perdana Menteri Greece ketika bercakap dalam sidang kemuncak zon euro di Brussels. – Reuters

“Kami belum mengakhiri perbincangan kami. Ia masih amat sukar tetapi kerja-kerja masih diteruskan,” kata Dijsselbloem selepas rundingan selama sembilan jam, menambah mereka akan diteruskan pada pagi Ahad pada 0900 GMT.

Menteri Kewangan Finland Alexander Stubb berasa lebih optimistik, meskipun laporan mengatakan parlimen Finland telah memutuskan ia tidak akan membenarkan kerajaan menerima sebarang perjanjian jaminan keluar baru untuk Greece.

“Kami sedang mencatat perkembangan yang baik,” kata beliau.

Pesuruhjaya EU untuk hal ehwal ekonomi Pierre Moscovici, yang merupakan antara orang yang paling bersimpati dengan krisis Greece, berkata: “Saya sentiasa menaruh harapan.”

ARTIKEL YANG SAMA