Rundingan Greece bakal berakhir

Rundingan Greece bakal berakhir

ATHENS, 7 Ogos (AFP) – Greece kini di peringkat akhir rundingan untuk mencapai persetujuan dengan pemiutang-pemiutangnya termasuk Kesatuan Eropah (EU) mengenai pelan penyelamatan ekonomi terbaharu negara berkenaan, kata Perdana Menteri Alexis Tsipras semalam.

“Kami berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan satu perjanjian dengan institusi-institusi berkenaan (pemiutang),” kata Tsipras dalam ucapan yang disiarkan stesen televisyen Greece.

“Walaupun menghadapi kesukaran, kami berharap perjanjian ini akan dapat menamatkan sebarang ketidakpastian tentang masa depan Greece dalam zon mata wang Euro,” tambahnya.

Greece yang kini hampir muflis memerlukan satu perjanjian bagi melepaskan dana penyelamatan ekonomi menjelang 20 Ogos ini apabila Athens mesti membayar hutangnya berjumlah 3.4 bilion euro kepada Bank Pusat Eropah.

Mengulas perkembangan terbaharu rundingan berkenaan, Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker berkata, perjanjian mengenai pelan penyelamatan ekonomi terbaharu itu boleh dicapai menjelang tarikh akhir tersebut.

“Semua laporan yang saya terima menunjukkan perjanjian itu dapat dimeterai sebelum 20 Ogos ini,” katanya.

Tsipras menerima tekanan daripada anggota parti pimpinannya, Syriza yang mendakwa pakej penyelamatan ekonomi terbaharu yang dipersetujui pada bulan lalu adalah berorientasikan penjimatan sekali gus bertentangan dengan janji kerajaan.

Dalam dua sesi pengundian pada bulan lalu, lebih 30 wakil rakyat dari Parti Syriza enggan meluluskan langkah penjimatan berhubung pelan penyelamatan ekonomi terbaharu itu.

Tsipras pula memberi amaran bahawa beliau akan mengadakan pilihan raya awal pada musim luruh ini jika mereka berterusan enggan meluluskan langkah penjimatan itu.

ARTIKEL YANG SAMA