Rundingan iklim tidak ada kemajuan

Rundingan iklim tidak ada kemajuan

BONN, 27 Mei – Diplomat iklim yang mengakhiri rundingan teknikal semalam berkata mereka berada di laluan yang betul tetapi masih jauh daripada menunaikan janji tentang perjanjian bersejarah yang dicapai pada Disember.

Perunding dari 196 negara mengusahakan tiga dasar dalam Perjanjian Paris, hasil perbalahan selama dua dekad di antara negara kaya dan membangun.

Perjanjian itu, yang mungkin dikuatkuasakan pada akhir tahun ini, jauh lebih cepat daripada jangkaan yang menetapkan matlamat untuk mengehad pemanasan global dan menyalurkan bertrilion dolar ke negara miskin yang menghadapi kerosakan iklim.

Sesi 10 hari di bandar Bonn menumpukan terutamanya pada pelaksanaan “buku peraturan”, dan menetap asas kerja untuk mesyuarat peringkat tinggi pada November di Marrakesh, Maghribi.

“Ia adalah sesi yang amat positif,” kata Elina Bardram, perunding untuk Kesatuan Eropah, menyatakan pendapat yang dipersetujui oleh diplomat dan pemerhati lain.

Ketua iklim PBB bersara Christiana Figueres juga melihat “kerelaan baru” untuk bekerja secara kolektif tetapi mengingatkan masa sudah kesuntukan.

“Kebimbangan saya sama ada perubahan itu berlaku cukup cepat untuk mengelak kesan paling teruk. Ia adalah satu perlumbaan melawan masa,” beritahunya kepada wartawan merujuk kepada peralihan global daripada bahan api fosil kepada tenaga hijau.

Soalan paling penting pada agenda itu adalah bagaimana meningkatkan pelan nasional untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau.

Pakatan Paris menggesa pemanasan global dihadkan di bawah dua darjah dan 1.5 Celsius jika boleh.

Namun janji negara untuk mengurangkan pencemaran karbon masih melihat permukaan Bumi dipanaskan sebanyak tiga darjah Celsius berbanding sebelum Era Perindustrian dalam satu senario yang digambarkan oleh ahli sains sebagai membawa bencana. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA