Rundingan Tahunan ke-20 Brunei-Malaysia

Rundingan Tahunan ke-20 Brunei-Malaysia

PUTRAJAYA, 4 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha pagi tadi berkenan berangkat menghadiri Rundingan Tahunan ke-20 di antara Ketua-Ketua Kerajaan Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Mengiringi keberangkatan Baginda berdua ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri di Bangunan Pejabat Perdana Menteri dijunjung oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan isteri, Datin Sri Rosmah Mansor.

Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dijunjung naik bersama-sama Datuk Seri Mohd Najib dan isteri ke pentas khas untuk menerima tabik hormat dengan diiringi lagu kebangsaan kedua-dua buah negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan memeriksa Barisan Kehormatan yang dianggotai oleh tiga orang pegawai dan 104 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dan seterusnya berkenan menaiki semula pentas khas bagi tabik hormat kedua dan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Datuk Seri Mohd Najib berkenan menyaksikan pertukaran dokumen MoU di dalam bidang Teknologi Hijau di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia. – Bernama
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Datuk Seri Mohd Najib berkenan menyaksikan pertukaran dokumen MoU di dalam bidang Teknologi Hijau di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia. – Bernama
Baginda Sultan berkenan memeriksa perbarisan kehormatan oleh tiga orang pegawai dan 104 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja. – Infofoto
Baginda Sultan berkenan memeriksa perbarisan kehormatan oleh tiga orang pegawai dan 104 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja. – Infofoto
Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan menghadiri Majlis Santap Tengah Hari yang dihoskan oleh Datuk Seri Mohd Najib dan isteri di Kompleks Seri Perdana. – Bernama
Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan menghadiri Majlis Santap Tengah Hari yang dihoskan oleh Datuk Seri Mohd Najib dan isteri di Kompleks Seri Perdana. – Bernama
Baginda Raja Isteri berkenan melihat pameran kain batik selepas Majlis Santap Minum Pagi di Kompleks Seri Perdana. – Bernama
Baginda Raja Isteri berkenan melihat pameran kain batik selepas Majlis Santap Minum Pagi di Kompleks Seri Perdana. – Bernama
Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz semasa Majlis Santap Tengah Hari di Kompleks Seri Perdana. – Infofoto
Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz semasa Majlis Santap Tengah Hari di Kompleks Seri Perdana. – Infofoto

Selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri disembah-kenalkan kepada barisan menteri kabinet Malaysia dan delegasi serta ketua-ketua perwakilan asing.

Sementara itu, Datuk Seri Mohd Najib dan isteri juga diperkenalkan kepada delegasi Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri kemudiannya dijunjung bagi sesi bergambar bersama Perdana Menteri Malaysia dan isteri.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya dijunjung bagi meneruskan perjumpaan empat mata bersama Datuk Seri Mohd Najib. Mula-mula Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung menaiki tangga utama Pejabat Perdana Menteri bagi sesi bergambar bersama Datuk Seri Mohd Najib sebelum beredar ke Bilik Perdana Menteri bagi perjumpaan empat mata.

Sebelum memasuki Bilik Perdana Menteri, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menandatangani buku pelawat.

Sementara itu, secara berasingan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dijunjung berangkat ke Kompleks Seri Perdana bagi Majlis Santap Minum Pagi bersama Datin Sri Rosmah. Di Kompleks Seri Perdana, Baginda Raja Isteri dijunjung oleh Datin Sri Rosmah. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri kemudiannya berkenan menyaksikan pameran batik yang diadakan di Kompleks Seri Perdana.

Berangkat mengiringi Baginda Raja Isteri ke Kompleks Seri Perdana ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.

Manakala di Pejabat Perdana Menteri pula, selepas Perjumpaan Empat Mata di antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Datuk Seri Mohd Najib, Baginda Sultan berkenan beredar ke Dewan Serbaguna bagi menyaksikan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman di dalam bidang Teknologi Hijau di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Penandatanganan tersebut disempurnakan oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar, bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Manakala, kerajaan Malaysia diwakili oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity.

Di bawah MoU tersebut, Malaysia dan Brunei akan mengambil langkah perlu untuk menggalakkan dan mempromosikan kerjasama teknikal dalam teknologi hijau melalui pelbagai bidang.

Sempena rundingan tahunan tersebut, satu Kenyataan Bersama telah dikeluarkan.

Selepas menyaksikan penandatangan MoU tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Kompleks Seri Perdana bagi menghadiri Majlis Santap Tengah Hari yang dihoskan oleh Datuk Seri Mohd Najib dan isteri.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Kompleks Seri Perdana dijunjung oleh Datuk Seri Mohd Najib. Seterusnya, Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri bersama-sama Datuk Seri Mohd Najib dan isteri berkenan beredar ke Blue Room di Kompleks Seri Perdana untuk sesi bergambar sebelum berangkat ke Dewan Protokol bagi Majlis Santap Tengah Hari.

ARTIKEL YANG SAMA