Rundingan tamat perang saudara

Rundingan tamat perang saudara

YANGON, 24 Julai – Kerajaan, tentera dan kumpulan etnik bersenjata Myanmar mengadakan rundingan di Yangon hari ini tatkala rundingan untuk menamatkan perang saudara berdekad-dekad lamanya memasuki fasa terakhir sebelum pilihan raya bersejarah pada November.

Musuh lama telah datang ke meja rundingan sejak kerajaan separa awam menerajui tampuk pentadbiran empat tahun lalu tatkala bekas negara junta itu berusaha untuk mencapai satu perjanjian gencatan senjata dan menyelesaikan konflik etnik.

Namun tatkala pilihan raya umum mengancam akan menghapus proses perdamaian daripada agenda, perasaan wasangka yang berlarutan masih menyurami perjanjian.

“Kepercayaan adalah amat penting dalam rundingan. Kami boleh mencapai kejayaan hanya jika rundingan berdasarkan pada kepercayaan,” kata La Ja, salah seorang pemimpin wakil yang mewakili kumpulan etnik bersenjata, ketika kata-kata pembukaan.

Pada Mac, Presiden Thein Sein memeterai satu draf perjanjian dengan lebih berpuluh kumpulan pemberontak untuk menamatkan pertempuran selama beberapa dekad, digambarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai “pencapaian bersejarah dan bermakna.”

Sekarang kerajaan mahu mencapai gencatan senjata penuh di seluruh negara sebelum pilihan raya pada 8 November yang dilihat sebagai ujian pembaharuan utama selepas pemerintahan tentera selama beberapa dekad.

Namun pertempuran kecil berterusan di utara negeri Kachin, di mana satu perjanjian gencatan senjata menemui kegagalan pada 2011 sejurus selepas berakhirnya pemerintahan junta.

Kumpulan telahpun bersetuju dengan 10 perkara dengan tiga perkara terakhir dibincangkan pada mesyuarat seterusnya, menurut perunding kerajaan Aung Min. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA