Rusia, AS bertelingkah di PBB

Rusia, AS bertelingkah di PBB

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 22 Sept – Rusia dan AS bertelingkah di PBB berhubung pembunuhan beramai-ramai di Syria semalam, ketika serangan udara ke atas Aleppo ekoran kegagalan gencatan senjata.

Setiausaha Negara AS, John Kerry yang berang pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB menuntut supaya Rusia memaksa Syria mengundurkan pasukan daratnya, yang dipersalahkan oleh Washington bagi serangan konvoi bantuan.

Kerry dan rakan sejawatnya dari Rusia, Sergei Lavrov hari ini akan berunding dengan pihak berperanan penting dalam konflik itu dan cuba menghidupkan semula gencatan senjata serta membentuk laluan baru ke arah menamatkan peperangan lima tahun itu.

“Kita berada pada detik kegagalan atau membuat kejayaan,” kata Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon pada majlis itu, dengan menggesa kuasa-kuasa dunia supaya menggunakan pengaruh mereka untuk membantu bagi membuka semula rundingan damai agar pihak Syria boleh ‘mencari jalan keluar dari penderitaan yang mereka alami.”

Rusia dan AS telah merundingkan rancangan gencatan senjata terbaru, tetapi Syria menamatkan gencatan senjata Isnin lalu ekoran serangan campuran yang diketuai AS yang tidak disengajakan ke atas tentera-tentera Syria. Sejurus selepas gencatan senjata berakhir, konvoi bantuan PBB diserang, yang mengorbankan 20 orang pekerja kemanusiaan dan memusnahkan 18 buah lori yang membawa makanan bagi orang awam yang dalam keadaan terdesak di wilayah Aleppo.

Semalam, pengeboman hebat melanda bandar Aleppo dan wilayah wilayah sekitarnya yang luas serta medan pertempuran utama dalam konflik Syria, juga satu serangan yang telah mengenai pasukan perubatan lewat Selasa lalu.

Berucap pada majlis itu, Kerry berkata bahawa pengeboman ke atas lori bantuan telah membangkitkan ‘kecurigaan mendalam’ sama ada Rusia dan sekutunya Syria komited untuk mendukung gencatan senjata.

“Kita mesti melangkah ke hadapan dengan segera bagi mengundurkan semua pesawat udara yang terbang di kawasan-kawasan utama itu untuk meredakan situasi dan memberikan peluang bantuan kemanusiaan agar dapat dilaksanakan tanpa dihalang,” katanya lagi.

Moscow menafikan pesawat-pesawat Rusia atau Syria yang telah melancarkan serangan Isnin lalu ke atas konvoi bantuan.

Seorang jurucakap ketenteraan Rusia berkata dron pasukan campuran berada di kawasan itu apabila lori-lori bantuan musnah, satu dakwaan yang dinafikan oleh Pentangon. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA