Rusia, AS digesa tingkat usaha bantu Syria

Rusia, AS digesa tingkat usaha bantu Syria

ALEPPO, Syria, 15 Sept – Ketua PBB Ban Ki-moon semalam menggesa Rusia dan AS supaya berusaha lebih lagi untuk memastikan penghantaran bantuan yang benar-benar diperlukan kepada rakyat Syria ketika gencatan senjata sebahagian besarnya berkuat kuasa.

Orang awam yang terkepung masih menanti dalam keadaan terdesak bagi mendapatkan bantuan di bandar kedua Syria, Aleppo yang dicengkam peperangan, dengan 20 buah lori bantuan PBB terkandas di sempadan Turki kerana kebimbangan keselamatan.

Rusia berkata Castello Road – laluan utama bekalan ke Aleppo dilanda serangan mortar, yang mengancam pengunduran pasukan tentera Syria yang dijangka bermula pada pukul 0600 GMT hari ini.

Gencatan senjata yang bermula senja Isnin lalu, dipersetujui selepas rundingan tidak henti-henti antar AS-Rusia di Geneva minggu lalu, adalah sebahagian usaha terbaru untuk menamatkan konflik lima tahun yang telah mengorbankan lebih 300,000 orang.

Ban berkata dia sedang berunding dengan Rusia dan AS untuk memberi tekanan ke atas semua pihak untuk menjamin keselamatan konvoi bantuan PBB.

Gambar fail 9 September 2016 menunjukkan Setiausaha AS, John Kerry (kiri), dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov bersalaman pada akhir sidang media bagi membincangkan krisis Syria, di Geneva, Switzerland. – AP
Gambar fail 9 September 2016 menunjukkan Setiausaha AS, John Kerry (kiri), dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov bersalaman pada akhir sidang media bagi membincangkan krisis Syria, di Geneva, Switzerland. – AP

“Adalah amat penting pengaturan keselamatan yang perlu seharusnya diberikan supaya mereka boleh dibenarkan menyeberangi garisan,” kata setiausaha agung PBB.

“Saya menggesa kerajaan Rusia supaya memastikan mereka menggunakan pengaruh ke atas kerajaan Syria dan juga pihak Amerika, supaya memastikan kumpulan bersenjata Syria sepenuhnya bekerjasama.”

Aleppo benar-benar memerlukan bantuan kemanusiaan selepas pertempuran sengit berminggu-minggu.

Kawasan timur, yang didiami kira-kira 250,000 orang, dikepung oleh kerajaan selama dua bulan lalu. konvoi bantuan itu seharusnya menuju bandar itu semalam, tetapi Ban berkata penyusunan keselamatan masih tidak wujud di sebalik gencatan senjata. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA