Rusia bebas juruterbang Ukraine

Rusia bebas juruterbang Ukraine

KIEV, 26 Mei – Juruterbang Ukraine, Nadiya Savchenko (gambar) kembali ke tanah air semalam selepas hampir dua tahun merengkuk dalam penjara Rusia, situasi yang hampir menjejaskan hubungan diplomatik antara Moscow and Kiev.

Juruterbang helikopter berusia 35 tahun itu dihantar pulang sebagai sebahagian perjanjian pertukaran tahanan dengan Moscow, dengan dua tentera Rusia dikatakan sudah meninggalkan Ukraine awal hari yang sama.

“Saya sudah bersedia sekali lagi untuk berkorban nyawa demi Ukraine di medan perang,” kata Savchenko sebaik tiba ke tanah airnya.

Savchenko kemudian diiringi pasukan pengiring ke pejabat Poroshenko untuk menghadiri majlis penganugerahan daripada presiden itu, kata sumber kepada wartawan.

Di Ukraine beliau dianggap sebagai simbol kebangkitan terhadap apa yang disifatkan Kiev sebagai kekerasan Moscow di timur dan turut dilantik sebagai wakil parlimen ketika ketiadaannya.

Nadezhda Savchenko

Terdahulu, dua tentera Rusia, Aleksandr Aleksandrov dan Yevgeny Yerofeyev, yang dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh Ukraine kerana berjuang di timur yang dikuasai pemberontak, tiba di Moscow lapor penyiar kebangsaan Rusia. – AFP