Rusia buka koridor bantuan di Aleppo

Rusia buka koridor bantuan di Aleppo

MOSCOW, 28 Julai – Rusia berkata hari ini ia telah melancarkan ‘operasi kemanusiaan skala besar’ bersama dengan kerajaan Syria di seluruh bandar Aleppo untuk membuka koridor kemanusiaan bagi orang awam dan para pejuang yang melarikan diri.

Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu memberitahu agensi-agensi berita Rusia bahawa koridor kemanusiaan telah dibuka ‘untuk membantu orang awam yang ditahan oleh pengganas dan bagi para pejuang yang berhasrat untuk melucutkan senjata mereka’ dan satu lagi koridor ke utara bandar bagi para pemberontak yang lari bersama senjata mereka.

Kawasan kejiranan pembangkang di Aleppo telah dikepung oleh pasukan rejim yang disokong oleh kuasa udara Rusia sejak 7 Julai, apabila pasukan tentera kerajaan mara ke kawasan penembakan di satu-satunya laluan bekalan yang ada di timur.

“Kami berulang kali menggesa pihak penentang untuk berdamai namun setiap kali itu juga pemberontak melanggar perdamaian sementara dengan menembak ke arah kawasan orang awam dan menyerang pasukan kerajaan. Akibatnya, situasi kemanusiaan yang sukar wujud di bandar Aleppo dan sekitarnya,” kata Shoigu.

Presiden Vladimir Putin sejak itu telah mengarahkan pasukan Rusia untuk menyokong askar-askar yang setia kepada rakan sejawatan Syria, Bashar al-Assad untuk melancarkan ‘operasi kemanusiaan skala besar’ bersama rejim Syria.

Pos-pos perubatan dan pemberian makanan akan disediakan di sepanjang tiga koridor yang dikhaskan untuk orang awam dan pejuang yang melucutkan senjata mereka, kata Shoigu.

Shoigu merayu kepada kerajaan Syria untuk menawarkan pengampunan kepada para pejuang yang lari dan media kerajaan melaporkan bahawa Assad bersetuju dengan hal itu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA