Rusia cap NGO ‘agen asing’, henti beri geran

Rusia cap NGO ‘agen asing’, henti beri geran

MOSCOW, 3 Julai (AFP) – Sebahagian Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terkemuka Rusia semalam berkata kerja-kerja mereka akan terjejas selepas kerajaan bertindak menolak pemberian geran kerana dicap sebagai “agen asing” di bawah undang-undang berkontroversi.

Kumpulan hak asasi terkenal yang menerima pembiayaan kewangan kerajaan pada tahun-tahun sebelumnya tidak akan menerima bantuan pada 2016, para pegawai mengumumkan demikian Rabu lepas, dengan lebih banyak dana disalurkan kepada pertubuhan patriotik yang dilihat menyokong penuh Kremlin.

Kumpulan hak asasi paling terkenal negara itu, Memorial; Committee of Soldiers’ Mothers di Saint Petersburg, yang menyiasat penyalahgunaan kuasa tentera; dan kumpulan pemantau pilihan raya Golos tidak akan menerima sebarang bantuan dana.

Mereka semua dipaksa untuk didaftarkan sebagai “agen asing” di bawah undang-undang 2012 yang menyasarkan kumpulan yang menerima pembiayaan dari luar negara yang Moscow berkata bertujuan untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman Rusia.

Sebagai respons ke atas keengganan kerajaan itu, Golos melancarkan rayuan kepada orang awam bagi dana sejumlah AS$54,000 (49,000 euro) untuk mencegah pertubuhan itu berdepan masalah kewangan.

“Kami memohon jasa baik rakyat yang bertanggungjawab dan ahli perniagaan untuk menyokong perjuangan kami bagi memastikan pilihan raya dilaksanakan dengan penuh keadilan,” pengerusi bersama Golos, Grigory Melkoniants memberitahu agensi berita Interfax.

ARTIKEL YANG SAMA