Rusia dijangka halang tribunal MH17

Rusia dijangka halang tribunal MH17

GENEVA, 26 Julai (Reuters) – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka menetapkan Rabu ini untuk mengadakan proses undian terhadap resolusi penubuhan tribunal antarabangsa yang dikemukakan Malaysia bagi menghukum pihak yang terlibat dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.

Bagaimanapun, usaha Kuala Lumpur untuk mengheret pihak bertanggungjawab bakal berdepan kesulitan selepas Rusia dilapor berkemungkinan besar akan menggunakan kuasa veto bagi menghalang resolusi tersebut diluluskan.

Bulan lalu, Malaysia mengedarkan draf resolusi bagi membentuk tribunal untuk membela nasib 298 penumpang dan kru yang terbunuh selepas pesawat MH17 yang dinaiki mereka ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lalu.

Sumber diplomat PBB melaporkan, menteri luar dari Malaysia, Australia, Belanda, Belgium, dan Ukraine dijangka menghadiri sesi undian itu.

Tetapi Duta Rusia ke PBB, Vitaly Churkin menegaskan bahawa Moscow menentang keras usaha Malaysia untuk menubuhkan tribunal tersebut.

Gambar serpihan bangkai pesawat MH17 di Ukraine tahun lepas yang disiasat oleh polis tempatan. - Reuters
Gambar serpihan bangkai pesawat MH17 di Ukraine tahun lepas yang disiasat oleh polis tempatan. – Reuters

“Tindakan mengemukakan resolusi ke Majlis Keselamatan tidak wajar dilakukan kerana tidak melibatkan kes yang mengancam keselamatan dan keamanan dunia,” kata beliau.

Churkin turut menjelaskan Moscow tidak memberikan arahan jelas berhubung sesi undian pada ming­gu depan dan beliau yakin resolusi berkenaan tidak akan diluluskan.

Rusia mempunyai kuasa veto seperti Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis, dan China, sekali gus boleh menggunakan keistimewaan tersebut untuk menolak usaha Malaysia yang mendapat kerjasama dari Australia, Belanda, dan Ukraine.

ARTIKEL YANG SAMA