Rusia guna veto tolak tribunal MH17

Rusia guna veto tolak tribunal MH17

NEW YORK, 30 Julai (AFP) – Rusia menggunakan kuasa veto menolak resolusi Majlis Keselamatan PBB bagi penubuhan tribunal khas untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh penerbangan MH17 di Ukraine.

Sebelas daripada 15 anggota Majlis Keselamatan PBB mengundi menyokong resolusi itu yang dirangka oleh Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine.

Russia menggunakan kuasa veto. Angola, China dan Venezuela berkecuali. Sesi Majlis Keselamatan PBB itu bermula dengan tafakur sebagai penghormatan kepada 298 orang yang terbunuh dalam tragedi 17 Julai, 2014 itu.

Moscow merangka resolusi pilihan yang tidak memasukkan sebuah tribunal tetapi meminta siasatan penuh antarabangsa dan dutanya memberi penjelasan panjang bagi mempertahankan tindakan Rusia itu.

Vitaly Churkin berkata, penyiasat Rusia dinafikan hak ke tapak pesawat itu terhempas dan membidas apa yang mungkin mungkin menjadi pendakwaan jenayah “secara tertutup” jika resolusi itu diluluskan.

Vitaly Churkin menggundi untuk veto tolak tribunal MH17 dalam rundingan itu. – AFP
Vitaly Churkin menggundi untuk veto tolak tribunal MH17 dalam rundingan itu. – AFP

“Apakah asas yang dapat memastikan keadilan dalam siasatan itu?” soal Churkin dalam ucapannya kepada majlis itu sambil membidas “propaganda agresif menerusi media”.

Ukraine dan Barat menuduh puak pemisah pro-Rusia bertanggungjawab dan menyatakan mereka mungkin mengguna peluru berpandu darat ke udara Buk yang dibekalkan Rusia bagi menembak jatuh pesawat Boeing 777 itu.

Moscow menafikan pembabitan itu dan sebaliknya menuduh tentera Ukraine.

Duta Amerika Syarikat (AS), Samantha Power, berkata beliau “marah dan amat kecewa” dengan penggunaan kuasa veto itu tetapi menegaskan tiada veto yang akan menggoncang komitmen AS memberikan keadilan kepada waris mangsa.

“Dengan menggunakan kuasa veto, Rusia cuba menafikan keadilan kepada 298 mangsa dalam pesawat berkenaan dan menafikan hak waris mereka mengetahui mereka yang bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai, merayu kepada anggota Majlis Keselamatan PBB supaya menerima resolusi itu dan berkata sebuah tribunal adalah wadah terbaik untuk “memberikan keadilan kepada keluarga mangsa”.