Rusia hargai peranan ASEAN

Rusia hargai peranan ASEAN

Oleh Sim Y. H. & Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Rusia terus memberikan sokongan kepada peranan penting yang dimainkan oleh ASEAN di rantau Asia Pasifik di mana menjadi salah satu keutamaan dalam dasar luar negara itu untuk meningkatkan serta mengukuhkan lagi kerjasama pelbagai hala dengan negara-negara anggota ASEAN.

Dalam hubungan itu, Rusia meletakkan keutamaan tinggi kepada Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia bersempena ulang tahun ke-20 rakan kongsi dialog yang akan diadakan di Sochi, Rusia, selama dua hari iaitu pada 19 dan 20 Mei nanti.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Presiden Rusia Tuan Yang Terutama Vladimir Putin dijadual menyertai para pemimpin ASEAN yang lain pada sidang yang pertama kali diadakan di wilayah Rusia itu dengan membawa slogan ‘Ke Arah Perkongsian Strategik Demi Kebaikan Bersama’.

Sidang kemuncak yang menandakan ulang tahun ke-20, dialog dan kerjasama dalam bidang politik, ekonomi dan kerjasama kemanusiaan, ASEAN dan Rusia itu bakal menyentuh pelbagai isu berkepentingan bersama yang berhubungan dengan keamanan dan kestabilan global serta kerjasama ekonomi dua hala dan serantau, jelas Duta Rusia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Vladlen Semivolos (gambar) dalam temu bual e-mel bersama Media Permata.

Beliau berkata bahawa matlamat utama sidang kemuncak ASEAN-Rusia ditekankan oleh Presiden Vladmir Putin di mana beliau berharap mesyuarat itu dapat membawa kerjasama strategik ASEAN dan Rusia ke tahap baru di mana kerjasama di antara Rusia dan ASEAN yang dinikmati bertahun-tahun lamanya menyumbang kepada kestabilan serta pertumbuhan ekonomi rantau Asia-Pasifik.

pg03_160517_a

Presiden Putin juga dipetik menyatakan bahawa sidang kemuncak itu akan mengembangkan lagi kerjasama dalam pelbagai isu termasuk keselamatan serantau dan usaha untuk memerangi keganasan.

Menurut TYT Semivolos, salah satu perkara yang bakal ditekankan oleh Presiden Putin semasa sidang kemuncak itu nanti adalah pentingnya untuk merealisasikan potensi ekonomi dalam hubungan ASEAN dan Rusia serta meningkatkan lagi jumlah perdagangan, pelaburan dan untuk memastikan pembangunan ekonomi bersama.

Dalam hubungan itu, Peta Jalan Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-Rusia 2012 serta peta jalan yang dikemaskinikan pada 2015, mampu menjadi rangka kerja yang efektif dalam meningkatkan lagi hubungan berkepentingan bersama dalam pelbagai bidang khususnya dalam bidang tenaga, pengangkutan, infrastruktur, sains dan teknologi.

“Pada 2014, perdagangan di antara ASEAN dan Rusia mencecah sehingga AS$22.5 bilion di mana pelaburan langsung asing Rusia ke dalam rantau ini telah mencecah $698 juta pada 2012-2014,” kata TYT Semivolos.

Namun begitu, ulas TYT Semivolos, usaha perlu ditingkatkan untuk mencapai potensi sebenar kerjasama di antara ASEAN dan Rusia dalam pelbagai bidang seperti pengeluar hidrokarbon, sekuriti tenaga, kejuruteraan kuasa hidro dan pembangunan teknologi tenaga efisien bagi membuka ruang kerjasama yang lebih mendalam.

Pada masa yang sama, TYT Semivolos menekankan perlunya untuk mempromosikan lagi pelaksanaan projek bersama dalam sektor pengangkutan dan infrastruktur, rangkaian logistik dan latihan sumber manusia.

Beliau turut menyatakan pelbagai bidang kerjasama berpotensi boleh diterokai termasuk pembinaan kapal terbang, pengangkutan udara, pertanian, sekuriti makanan dan Rusia juga amat berminat untuk mengembangkan kerjasama teknologi tinggi bersama ASEAN.

Dalam hubungan itu, TYT Semivolos berkata Forum Perniagaan ASEAN-Rusia yang diadakan sebelum Sidang Kemuncak Sochi amat penting di mana acara yang berskala besar itu, dihadiri oleh lebih daripada 500 orang wakil perniagaan dan syarikat elit dari negara-negara anggota ASEAN dan Rusia.

Forum itu menyediakan platform yang efektif untuk meningkatkan kerjasama di antara syarikat dari ASEAN dan Rusia dalam pelbagai bidang seperti tenaga, pengangkutan, infrastruktur, pertanian, sains dan teknologi.

“Ia merupakan satu acara yang signifikan dalam konteks usaha pelbagai negara termasuk Rusia dan Brunei, untuk mempelbagaikan ekonomi masing-masing dan menarik pelaburan bagi merangsang pertumbuhan.”

TYT Semivolos juga berkata forum perniagaan itu amat bernilai bagi Rusia kerana ia merupakan salah satu kaedah untuk mempromosikan integrasi kerjasama Siberia Timur dan rantau Timur Asia Pasifik bagi merangsang pertumbuhan sosioekonomi kedua wilayah berkenaan.

Untuk menarik pelabur-pelabur asing, Rusia telah memperkenalkan Wilayah-wilayah Pembangunan Lanjut dengan menumpukan kepada kawasan Timur Rusia dengan menubuhkan Projek Pelabuhan Bebas Vladivostok yang menyediakan insentif cukai, hartanah, tanah dan pelbagai lagi kemudaan kepada usahawan asing.

Beliau percaya inovasi yang diperkenalkan akan membuka peluang yang lebih besar bagi ASEAN untuk meneroka dan melaksanakan projek pelaburan serta perniagaan yang bermanfaat bersama.

Mengulas mengenai isu yang akan dibincangkan semasa sidang kemuncak itu, TYT Semivolos berkata salah satu topik utama yang akan dibincangkan oleh para pemimpin adalah bagi penubuhan sebuah struktur sekuriti yang baru bagi rantau Asia Pasifik iaitu sebuah sistem yang dapat memastikan sekuriti yang saksama dan tidak berbelah-bahagi bagi semua negara-negara di rantau berkenaan berasaskan kepada peraturan undang-undang antarabangsa, prinsip penyelesaian pertelingkahan secara aman serta untuk tidak menggunakan ancaman atau kekerasan.

Beliau menjelaskan bahawa Rusia bersama-sama Brunei dan China membentangkan mengenai inisiatif bersama untuk mengukuhkan sekuriti dan mengembangkan kerjasama di Asia-Pasifik.

Berdasarkan dengan inisiatif berkenaan dalam rangka kerja pakar-pakar Sidang Kemuncak Asia Timur yang diterajui oleh ASEAN, negara-negara yang menyertai sidang kemuncak berkenaan terus mengadakan perbincangan praktikal untuk mengembangkan lagi pendekatan yang bersepadu dalam landskap sekuriti baru serantau.

Di samping itu, Rusia juga meletakkan keutamaan untuk mengembangkan hubungan rakyat dan penduduk negara-negara ASEAN di mana salah satu acara utama dalam program semasa sidang kemuncak itu ialah Mesyuarat Menteri-menteri Kebudayaan, ASEAN-Rusia dan Pesta Kebudayaan ASEAN-Rusia yang akan menyaksikan penyertaan kumpulan tarian tradisional Brunei.