Rusia hidupkan semula pesawat angkasa lepas

Rusia hidupkan semula pesawat angkasa lepas

MOSCOW, 18 Mei – Agensi angkasa lepas Rusia hari ini berkata ia telah berupaya menghidupkan semula enjin kapal angkasa lepas Progress dan membetulkan orbit Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) tempat kapal angkasa lepas itu dipasangkan, selepas percubaan pertama gagal.

“Pada malam semalam, orbit ISS telah berjaya dibetulkan,” Roscosmos memberitahu agensi berita Rusia, 48 jam selepas cubaan awal untuk menghidupkan enjin kapal angkasa lepas itu terbukti tidak berjaya.

ISS kini berada pada ketinggian betul untuk tiga anggota krewnya kembali ke Bumi dalam awal Jun selepas operasi oleh kenderaan kargo Progress M-26M yang bermula selepas 3:30 pagi waktu Moscow dan mengambil masa setengah jam.

Roscosmos berdepan krisis akibat siri-siri kegagalan mengaibkan, yang mengundang kemarahan daripada ahli politik dan mengakibatkan Moscow melancarkan penyiasatan ke atas industri angkasa lepas selepas memecat bekas ketuanya tahun lalu.

Pagi Sabtu lalu, beberapa jam selepas cubaan pertama gagal untuk membetulkan ISS, Rusia juga kehilangan satelit telekomunikasi Mexico ekoran pelancaran gagal roket pengangkut Proton-M dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan.

Perdana Menteri Rusia Dmitry Medvedev segera melancarkan penyiasatan selepas kejadian satelit itu, dengan menuntut jawapan daripada ketua agensi angkasa lepas, Igor Komarov, dan mengatakan beberapa pihak akan menerima akibat.

“Kemalangan ini adalah kesan daripada krisis teratur dalam industri angkasa lepas,” timbalan perdana menteri yang bertanggung jawab bagi sektor aeroangkasa, Dmitry Rogozin, berkata dalam satu kenyataan, dengan menambah kata bahawa rang undang-undang baru berhubung Roscosmos akan dikemukakan kepada parlimen Rusia esok. Kegagalan minggu lalu berlaku kurang sebulan selepas kapal angkasa lepas Progress tidak dikendali yang dimaksudkan untuk membekalkan ISS telah hilang perhubungan dengan Bumi, sejurus selepas berlepas pada 28 April, sebelum berkecai apabila masuk semula kurang dua minggu kemudian. – AFP