Rusia kurangkan bajet Piala Dunia 2018

Rusia kurangkan bajet Piala Dunia 2018

pg22_150624_bMOSCOW, 23 Jun (AFP) – Rusia telah mengurangkan bajet untuk Piala Dunia 2018 mereka hampir 30 bilion roubles, kerajaan berkata hari ini tanpa memberi sebab. Bajet temasya itu telah dikurangkan sebanyak 4.5 peratus daripada 660.6 bilion roubles kepada 631.5 bilion roubles.

Rusia dilanda krisis kewangan akibat sekatan yang dikenakan Barat berikutan konflik di Ukraine dan kejatuhan harga minyak global.

“Pembinaan dan pengubahsuaian stadium tidak akan terjejas dengan pengurangan perbelanjaan. Ia hanya mengoptimumkan persediaan. Kami akan mengurangkan penginapan hotel yang berlebihan,” Menteri Sukan Vitali Mutko memberitahu agensi berita sukan R-Sport.

Dalam memenangi hak menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018, Rusia komited untuk membina sembilan stadium baru dan membaik pulih tiga yang lain di 11 bandar-bandar tuan rumah perlawanan. Pengubahsuaian infrastruktur sedia ada dan pembinaan hotel juga merupakan sebahagian daripada rancangan itu.

Walaupun dituduh rasuah untuk memenangi hak menjadi tuan rumah Piala Dunia dan peletakan jawatan penyokong kuat Sepp Blatter sebagai presiden FIFA, Rusia meneruskan persiapan bagi penganjuran sukan berprestij global itu.

Sesetengah pihak menggesa agar hak penganjuran Rusia untuk acara itu dilucutkan termasuk Qatar yang menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, tetapi Jumaat lalu Presiden Rusia Vladimir Putin menegaskan perkara itu tidak boleh berlaku.