Rusia menang tipis

Rusia menang tipis

MOSCOW, 6 Sept (AFP) – Jurulatih baru Rusia Leonid Slutsky mengorak langkah kanan dengan kemenangan 1-0 ke atas Sweden dalam kelayakan Euro 2016 yang akan mengekalkan harapan mereka untuk terus mara dengan baki tiga perlawanan.

Slutsky mengambil alih bulan lalu berikutan pemecatan Fabio Capello dari Itali dan jaringan separuh masa pertama Artem Dzyuba membolehkan mereka meraih kemenangan di Moscow.

Rusia kekal di tempat ketiga dalam Kumpulan G tetapi merapatkan jurang dengan pasukan kedua Sweden kepada satu mata, dengan pendahulu Austria terus di depan apabila membenam Moldova 1-0 lewat semalam.

Rusia, yang mendapatkan sokongan 45,000 penyokong sendiri, bermula dengan baik dan pada minit kelapan pemain midfield Spartak Moscow, Roman Shirokov menjaringkan gol tetapi dibatalkan kerana ofsaid.

Pasukan tuan rumah terus mendominasi dan pada minit ke-38, hantaran ke belakang Shirokov ke dalam kawasan penalti untuk Igor Smolnikov, tetapi berjaya disempurnakan oleh Dzyuba berhampiran tempat sepakan penalti.

Penyerang Rusia Dzyuba (tengah) cuba menjaringkan gol semasa menentang Sweden dalam aksi kelayakan Kumpulan G Euro 2016 di Moscow semalam. - AFP
Penyerang Rusia Dzyuba (tengah) cuba menjaringkan gol semasa menentang Sweden dalam aksi kelayakan Kumpulan G Euro 2016 di Moscow semalam. – AFP

Selepas rehat, pengurus pasukan Sweden Erik Hamren meningkatkan jentera serangan dengan membawa masuk Ola Toivonen bagi menggantikan kapten pasukan Zlatan Ibrahimovic yang gagal menyerlah pada separuh masa pertama.

Sweden mula garang dengan menekan Rusia dan pada minit ke-62 pemain penyerang Rennes mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan tetapi penjaga gawang Rusia Igor Akinfeyev berjaya menepis keluar rembatan kencang jarak dekatnya.

Rusia dilihat keletihan lewat persaingan itu tetapi Sweden gagal mendapatkan kelebihan kecergasan mereka.

Emil Forsberg terlepas peluang terakhir Sweden pada masa penamat ketika rembatan kencangnya dari luar kawasan penalti dikeluarkan oleh Akinfeyev untuk sepakan sudut.