Rusia mungkin tidak sertai Olimpik Rio

Rusia mungkin tidak sertai Olimpik Rio

LONDON, 30 Dis – Presiden Olahraga Eropah Svein Arne Hansen tidak menjangka Rusia kembali kepada pertandingan antarabangsa tepat pada masanya untuk Sukan Olimpik di Rio de Janeiro pada tahun depan.

Atlet Rusia diharamkan bagi tempoh masa yang tidak pasti oleh Persatuan Antarabangsa Persekutuan Olahraga (IAAF) pada tahun lalu selepas laporan Agensi Anti-Dadah Dunia (WADA) mendakwa rasuah dan budaya dadah yang ditaja oleh kerajaan dalam kuasa besar sukan.

Jawatankuasa pemeriksaan IAAF dijangka melawat Rusia pada Januari untuk menyelia proses pembaharuan negara dan memastikan kriteria yang ditetapkan oleh badan sukan dipatuhi.

Jawatankuasa akan melaporkan semula kepada Majlis IAAF paling awal pada mesyuaratnya di Cardiff, Wales, pada 27 Mac, kurang lima bulan sebelum Olimpik.

“Buat masa sekarang mereka perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, tetapi saya tidak melihat mereka bertanding di Rio,” beritahu Hansen, di mana badannya termasuk Rusia sebagai anggota persekutuan, kepada majalah Athletics Weekly semalam.

“Mereka mesti melaksanakan perubahan budaya. Mereka mesti menyingkir semua orang sebelum ini.”

Olah Raga Eropah, yang menyelia sukan di Eropah, bekerjasama dengan badan dunia IAAF mengenai isu dadah dan perubatan. Hansen, warga Norway, percaya Rusia akan bekerja keras untuk mengubah budaya berkenaan.

“Kami mengenali beberapa orang baik dalam olahraga Rusia dan saya pasti mereka akan dipilih. Kami berharap beberapa orang baru akan datang yang benar-benar faham bahawa ia mesti berubah,” katanya. – Reuters