Rusia nafi undian diatur awal

Rusia nafi undian diatur awal

MOSCOW, 30 Okt (Reuters) – Ketua jawatankuasa penganjur Piala Dunia 2018 Rusia semalam menafikan bahawa penganugerahan bagi penganjuran kejohanan bola sepak itu kepada Rusia sudah diatur terlebih dahulu.

Awal minggu ini presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Sepp Blatter, yang dikenakan penggantungan selama 90 hari oleh Jawatankuasa Etika badan induk bola sepak dunia itu di tengah-tengah penyiasatan rasuah, memberitahu agensi beriata TASS Rusia: “Adalah dipersetujui bahawa kita pergi ke Rusia (bagi 2018)…dan bagi 2022 kita pergi ke Amerika.”

Menjelaskan mengenai kenyataan itu, jurucakap Blatter, Klaus Stoehlker kemudian memberitahu Reuters bahawa presiden bermaksud dia ada mencadangkan peruntukan seumpama itu bagi dua kejohanan tetapi ia tidak dipersetujui sebelumnya kerana jawatankuasa eksekutif FIFA sudah pun mengundi baginya.

Mengulas kenyataan Stoehlker pula, Alexei Sorokin, ketua eksekutif jawatankuasa Rusia, berkata undian adalah apa yang menjadi keutamaan dan beliau tidak menyedari wujudnya sebarang penipuan.

“Jika terdapat orang yang mempunyai kedudukan jelas mengenai siapa untuk diundi, itu adalah hak mereka, mereka berhak terhadapnya. Menjadi hak mereka untuk membuat keputusan mengenai dunia bola sepak,” Sorokin memberitahu World Football Insider dalam satu temu ramah.

“Apa yang saya tahu ialah kami tidak tahu mengenai keputusan undian sehingga selepas pengundian.”

Empat belas pegawai bola sepak dan pemasaran sukan dikenakan dakwaan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat kerana rasuah, manakala pelaburan wang haram dan penipuan dalam talian adalah penyiasatan yang sedang dijalankan membabitkan jumlah jutaan dolar.