Rusia ‘putar belit’ isu Ukraine

Rusia ‘putar belit’ isu Ukraine

KIEV, 12 Jun (AFP) – Duta Amerika Syarikat di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam menuduh Rusia bersifat “putar belit” mengenai isu Ukraine bertujuan menyembunyikan pembabitan langsung Kremlin dalam perang yang ia lancarkan untuk menghalang gabungan Kiev dengan Barat.

Samantha Power menyampaikan ucapan penuh emosi di depan beratus-ratus orang di Kiev yang bertujuan memberi jaminan kepada warga Ukraine yang pro-Barat bahawa Washington menyokong keputusannya untuk memutuskan hubungannya dengan Rusia yang dibuat ketika era Soviet lagi serta menyertai Kesatuan Eropah (EU).

Ia juga dibuat setahun selepas Petro Poroshenko menjadi presiden yang bertungkus-lumus membanteras amalan rasuah yang teruk dan pertumbuhan ekonomi yang lemah sehingga menyebabkan Ukraine bergantung ke atas bantuan Rusia.

Power pula sejak sekian lama dilihat sebagai salah seorang anggota diplomatik Presiden Barack Obama yang memainkan peranan penting menentang tindakan Rusia melalui perdebatan sengit di PBB dengan rakan sejawatannya dari Moscow sehingga menjadi bahan lelucon di televisyen milik Kremlin.

Bagaimanapun ucapannya di Kiev pada semalam membantu menyampaikan mesej keras Washington kepada Moscow.

Samantha Power. – AFP
Samantha Power. – AFP

“Fokus ke atas Ukraine di Majlis Keselamatan adalah penting, kerana ia memberikan saya peluang – bagi pihak Amerika Syarikat – untuk menggariskan bukti pencerobohan Rusia, serta sikap putar belitnya dengan pelbagai pembohongan,” kata Power.

“Amerika amat jelas sekali dengan bukti yang ada bahawa ada kebenarannya mengenai tindak Rusia yang cuba menjejaskan kestabilan di negara anda.”

Presiden Rusia Vladimir Putin berulang kali menafikan menghantar pasukan komando ke wilayah timur Ukraine – wilayah warganya berbahasa Rusia dengan tradisi lama yang ada kaitan dengan Moscow.

Putin memanggil warga Rusia yang bersenjata ditemui di kawasan zon perang sebagai “sukarelawan” dan anggota tentera yang ketika itu tidak bertugas serta bertindak menjawab “panggilan hati nurani.”