Rusia sedia b...

Rusia sedia bantu Brunei majukan pertanian

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Selain sektor minyak dan gas, industri pertanian kini berpotensi untuk berkembang di Negara Brunei Darussalam dengan adanya bantuan dan kerjasama Republik Persekutuan Rusia yang kini industri pertaniannya sangat berkembang.

Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Rusia-ASEAN, Viktor Tarusin yang juga ketua pegawai eksekutif LLC MG3 dan presiden Odintsovo Chamber of Commerce & Industry ketika ditemui Media Permata di Kedutaan Republik Persekutuan Rusia di Brunei Darussalam, hari ini, menjelaskan bahawa beberapa projek telah dibincangkan di antara mereka dengan pihak dari Negara Brunei Darussalam.

Beliau bersama empat orang yang lain berada di Brunei sejak 17 April dan telah mengadakan pertemuan bersama menteri-menteri dan setiausaha-setiausaha tetap yang berkenaan, di Jabatan Perdana Menteri.

Delegasi berkenaan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif LLC NIPT, Ruslan Tokaev; Pengurus Pembangunan Strategik LLC NIPT, Rustam Kazakov; Ketua Pegawai Eksekutif Petroleum Energy Group, Alexander Zaets; dan Jurutera Kontrak di Jabatan Pemasaran dan Jualan SCF GEO, Rustem Aminev.

Tarusin memberitahu, dua perkara penting yang telah dibincangkan adalah mengenai pertanian serta minyak dan gas.

Viktor Tarusin (dua dari kiri) dan delegasi Republik Persekutuan Rusia bergambar ramai dengan Duta Besar Republik Persekutuan Rusia ke Brunei Darussalam, Vladlen Stanislavovich Semivolos (tiga dari kiri).
Viktor Tarusin (dua dari kiri) dan delegasi Republik Persekutuan Rusia bergambar ramai dengan Duta Besar Republik Persekutuan Rusia ke Brunei Darussalam, Vladlen Stanislavovich Semivolos (tiga dari kiri).

“Sektor pertanian merupakan sebuah industri di negara kami kerana kebelakangan ini, Rusia telah menimba pengalaman dalam memulihkan pengeluaran pertanian disebabkan sekatan dari negara-negara barat dan Amerika Syarikat.

“Kami terpaksa meningkatkan keselamatan makanan kami dan dalam masa tiga tahun, kami boleh dikatakan menjadi berdikari sendiri dalam pengeluaran sayur-sayuran, ayam, dan sebagainya. Itulah sebabnya kami menganggap bahawa kepakaran kami boleh dikatakan agak menarik untuk Brunei,” ujarnya.

Lebih-lebih lagi, tambah beliau, mereka mendapat jemputan daripada Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan untuk mengambil bahagian dalam beberapa tender.

Dengan itu, institusi saintifik Rusia yang terlibat dalam penanaman bijirin dan pengeluaran sayur-sayuran, menghasilkan beberapa cadangan yang telah diterima dengan baik oleh KSSUP, ujar beliau.

Selain membincangkan mengenai pengeluaran dan pembuatan industri pertanian, mereka juga membincangkan tentang latihan.

“Kami boleh menyediakan latihan lanjutan untuk profesional dalam bidang pertanian.

“Kami boleh mengadakannya sama ada di sini (Brunei) atau kami bersedia untuk menjemput ahli perniagaan dan pakar-pakar profesional syarikat dari Brunei pergi ke Rusia untuk menjalani kursus-kursus latihan lanjutan jangka masa pendek yang akan menyediakan peralihan teknologi dan bertukar-tukar pengalaman antara kedua-dua komuniti profesional pertanian,” tambahnya

Mereka akan pulang ke Republik Persekutuan Rusia esok dan sebelum kepulangan mereka, mereka juga mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan wakil-wakil dari Brunei Shell Petroleum dan juga Petroleum Brunei untuk membincangkan tentang potensi-potensi yang ada yang boleh memanfaatkan kedua-dua belah pihak.

ARTIKEL YANG SAMA