Rusia serang Syria

Rusia serang Syria

DAMSYIK, 30 Sept (AFP) – Pesawat perang Rusia melancarkan serangan udara di tiga wilayah Syria bersama pesawat rejim hari ini, sumber keselamatan Syria memberitahu AFP.

“Pesawat Rusia dan Syria melancarkan pelbagai serangan hari ini terhadap kedudukan pengganas di wilayah Hama, Homs dan Latakia,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata, serangan dilancarkan di beberapa kawasan di pusat bandar Homs dan wilayah Hama serta kubu kuat rejim di pantai wilayah Latakia.

Terdahulu, Pemantau Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain, melaporkan sekurang-kurangnya 27 orang awam terbunuh dalam serangan udara di wilayah Homs.

Kumpulan itu berkata serangan dilancarkan di Rastan, Talbisseh dan Zaafarani di Homs, manakala sumber keselamatan berkata, hanya Rastan dan Talbisseh juga menjadi sasaran.

Gambar fail 6 Oktober 2012 menunjukkan Putin (kanan) dan Ivanov semasa mesyuarat di Moscow. Putin hari ini mendapat kebenaran daripada Kremlin untuk melancarkan serangan udara di Syria sebagai penglibatan pertama Moscow dalam teater perang jauh. – AFP
Gambar fail 6 Oktober 2012 menunjukkan Putin (kanan) dan Ivanov semasa mesyuarat di Moscow. Putin hari ini mendapat kebenaran daripada Kremlin untuk melancarkan serangan udara di Syria sebagai penglibatan pertama Moscow dalam teater perang jauh. – AFP

Kawalan wilayah Homs kebanyakannya dibahagikan antara rejim Syria dan kumpulan Negara Islam, yang menguasai bandar Palmyra yang terkenal dan sebahagian besar timur kawasan itu.

Serangan itu dilancarkan selepas Presiden Rusia Vladimir Putin mendapat sokongan parlimen untuk melancarkan serangan udara di negara itu, dalam apa yang akan menjadi penglibatan pertama Moscow dalam teater perang jauh sejak penjajahan Soviet di Afghanistan.

Pengumuman itu dibuat ketika Putin dan Presiden AS Barack Obama menolak rancangan saingan mengenai cara-cara untuk mengalahkan kumpulan Negara Islam (IS) di Syria dan peranan masa depan pemimpin negara yang dilanda masalah, Bashar al-Assad.

“Majlis Persekutuan sebulat suara menyokong permintaan presiden,” ketua kakitangan Kremlin Sergei Ivanov selepas dewan tertinggi meluluskan permintaan Putin untuk menggunakan tentera di luar negara.

“Kita bercakap tentang Syria,” katanya dan menambah keputusan untuk melancarkan serangan udara itu diambil selepas Presiden Syria meminta Rusia memberikan sokongan ketenteraan.

Ivanov, seorang bekas menteri pertahanan, enggan memberikan butiran operasi, sebaliknya hanya mengatakan ia operasi terhad dan menolak operasi darat tentera Rusia. Damsyik mengesahkan Assad telah meminta bantuan ketenteraan dari Rusia.