Rusia tahan jurnalis Ukraine kerana ‘mengintip’

Rusia tahan jurnalis Ukraine kerana ‘mengintip’

MOSCOW, 3 Okt – Perkhidmatan keselamatan FSB Rusia hari ini berkata, ia telah menahan seorang jurnalis Ukraine atas kesalahan mengintip, mencetuskan Kiev untuk mengarahkan pembebasannya dengan segera.

Jurnalis Roman Sushchenko – yang bekerja bagi agensi berita kerajaan Ukraine, Ukrinform sejak 2002 – telah ditahan di Moscow ‘sementara menjalankan aktiviti pengintipan’, FSB Rusia memberitahu agensi berita Interfax.

Perkhidmatan keselamatan Rusia berkata, Sishchenko telah bekerja bagi perisikan tentera Ukraine dan ‘mengumpul rahsia kerajaan…yang boleh merosakkan keupayaan pertahanan negara jika ia bocor ke negara luar’.

Sushchenko, koresponden Ukrinform Paris, telah ditahan pada 30 September sejurus tiba di Moscow untuk bercuti, kata agensi Ukraine.

Peguam Rusia, Mark Feigin, yang telah mempertahankan sejumlah warga Ukraine dalam kes berprofil tinggi di Rusia, memberitahu AFP yang Sushchenko telah ditahan di penjara Lefortovo, Moscow.

Kiev telah menyeru pembebasan segera Sushchenko dan pihak berkuasa Rusia untuk membenarkannya mendapatkan bantuan konsul Ukraine.

“Kami memohon para pegawai konsul kami akan diberikan akses segera kepada Sushchenko itu,” kata jurucakap kementerian luar negeri Ukraine, Mariana Betsa memberitahu AFP, menekankan bahawa menteri Pavlo Klimkin ditetapkan akan mengutarakan penahanan Sushchenko di mesyuarat Majlis Eropah hari ini. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA